Tidak sampai 12 jam, syarikat rangkaian penjual barangan penjagaan diri Watsons Malaysia (Watsons) telah menarik balik iklan raya mereka.

Petang semalam, iklan tersebut dikecam pengguna laman sosial yang mendakwa Watsons tidak sensitif dalam isu perkauman dan mendiskriminasi warna kulit’.

Bagaimanapun video yang disiarkan awal pagi semalam telah dipadam dari laman Facebook (FB) rasmi jenama itu.

Watsons juga telah memuat naik kenyataan maaf kepada semua pihak di FB mereka, Watsons Malaysia.

"Kami memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung kerana itu bukanlah tujuan kami.

"Kami mengambil serius maklum balas daripada orang ramai," kata syarikat tersebut dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, pihak Watsons turut menjelaskan iklan raya tersebut diilhamkan daripada legenda Dayang Senandong.

"Legenda Dayang Senandong ialah sebuah kisah rakyat Melayu mengenai seorang wanita yang lahir dalam sumpahan berkulit hitam legam tetapi dikurniakan suara yang merdu.

"Cerita itu menggambarkan bahawa seorang raja jatuh cinta kepada Dayang Senandong kerana suara dan kecantikan dalaman.

"Sumpahan itu dipulihkan selepas Dayang Senandong melahirkan seorang putera," jelas Watsons lagi.

Iklan Watsons yang tular bermula semalam, turut menampilkan barisan artis popular seperti Kamal Adli, Uqasha Senrose, Ruhainies, Thanuja, Sasha Saidin, Bell Ngasri dan Amber Chia.

Iklan berjudul Lagenda Cun Raya berdurasi 15 minit itu, menceritakan mengenai bagaimana seorang raja berkahwin gadis berkulit gelap dan hodoh, kerana 'terpaksa mengotakan janji'.

Namun, gadis hodoh tersebut bertukar cantik selepas menggunakan produk Watsons.