Laman Utama
Tanah Runtuh Batang Kali: Korek Tanah Selamatkan Bayi, 16 Maut & 17 Hilang
Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Batang Kali meragut 16 nyawa dengan 17 yang lainnya masih hilang, lapor Kementerian Pembangungan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan di Facebook sehingga pukul 1 tengahari tadi.
Daripada jumlah tersebut, KPKT memaklumkan sebanyak 94 mangsa terbabit dalam tragedi yang berlaku sekitar awal pagi tadi. Setakat ini, 61 daripada mangsa selamat dan operasi menyelamat masih giat dijalankan.
Sementara itu, seorang mangsa yang tidak mahu dikenali memberitahu AWANI dia berjaya menyelamatkan seorang ibu dan bayi yang tertimbus dalam runtuhan tanah tersebut.
"Saya korek tanah dalam sampai jumpa bayi tertimbus," itu jelas salah seorang mangsa ketika ditemui Astro AWANI di Balai Polis Ulu Yam pada Jumaat.
Jelas lelaki berusia 30-an itu yang berasal dari Melaka, kejadian berlaku ketika dia bersama dua anaknya dan isteri sedang tidur di dalam khemah di lokasi tanah runtuh.
"Kita tak nampak, kita dalam khemah tengah tidur, sekali bunyi sangat kuat. Nasib saya punya khemah yang akhir sekali, ada sedikit terseliuh di kaki sebab lari
“Ketika kejadian, kami dengar bunyi sahaja, semua mangsa yang selamat keluar angkat lampu suluh, semua cari mangsa yang tertimbus," katanya ketika menceritakan detik cemas itu.
Jelas lelaki itu lagi, dia dan rakannya dapat menyelamatkan seorang wanita dan bayinya yang turut tertimbus.
Tengok berapa lama kita boleh, kita korek tanah, korek tanah sampai kita nampak kepala wanita, kita pun tak tahu dia siapa.
"Nampak wanita itu boleh bernafas, wanita itu kata jangan selamatkan saya, selamatkan bayi saya.
"Kita pun korek sebelah kawasan tu, kita korek selepas itu ternampak seorang bayi, saya dan kawan saya kemudian tarik keluar bayi itu. Nasib baik dapat selamat, ibu dia pun turut serta korek tanah," katanya lagi.
Tambah lelaki itu, dua anaknya dan isterinya berjaya melarikan diri ketika kejadian dan tiada kecederaan dialami mereka.
Must-Watch Video