Tinggal 24 hari lagi umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut kedatangan Ramadan, namun tahun ini mungkin berbeza kerana COVID-19.

Kebiasaannya Ramadan akan meriah dengan bazar dan solat tarawih berjemaah di seluruh negara selama sebulan.

Bagaimanapun pada tahun ini, kekurangan mungkin akan dirasai kerana ketiadaan dua aktiviti penting tersebut.

Yang pasti, beberapa buah negeri sudah mengeluarkan arahan membatalkan bazar Ramadan tahun ini untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Negeri-negeri tersebut ialah Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka yang sudah mengeluarkan arahan tidak mengizinkan bazar Ramadan diadakan di seluruh negeri pada tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan tersebut juga dibuat kerana mendapati bazar Ramadan tidak sesuai diadakan seperti biasa memandangkan PKP dilanjutkan sehingga 14 April iaitu 10 hari sebelum awal Ramadan selain mengambil kira suasana tidak menentu ketika ini.

Sementara itu kerajaan negeri Kelantan turut membayangkan kemungkinan tiada bazar Ramadan di negeri itu pada tahun ini.

Negeri Selangor juga belum memutuskan untuk meneruskan bazar Ramadan atau pun tidak kerana perbincangan masih dibuat bersama pihak berkaitan dengan mengambil kira aspek keselamatan semua termasuk peniaga, pembekal dan pengguna.

Setakat ini hanya tiga negeri yang mengesahkan tiada bazar Ramadan pada tahun ini, tidak seperti berita tular yang menyatakan seluruh negara membatalkan aktiviti tersebut.

Berita palsu tersebut tular di laman sosial sejak semalam.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menafikan penyebaran berita palsu berhubung pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara seperti yang tular di laman sosial.

Penafian itu dibuat pada jam 12.32 tengah malam tadi menerusi akaun Twitter rasmi Berita RTM.

Ciapan berkenaan turut memuat naik tangkap layar akaun seorang warganet yang berkongsi berita palsu mengenai pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara dengan menyatakan sumbernya adalah Berita TV1.

Perkongsian berita palsu daripada akaun itu diulang ciap hampir 30,000 pengikutnya hingga mengundang salah faham dalam kalangan warganet.

Bagaimanapun, ciapan berkenaan sudah dipadam oleh pemilik akaun Twitter berkenaan.