Tidak Benar! Cucu Tampil Beri Penjelasan Dakwaan Mengenai Kematian Arwah Atuknya!
Tular sebuah video baru-baru ini yang memaparkan seorang warga emas meninggal dunia pada 5 Mei lalu selepas dijangkiti Covid-19.
Jangkitan itu dikatakan hasil daripada tindakan anaknya yang tinggal di perantauan pulang ke kampung halaman.
Dakwaan itu sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai apabila masih ada yang memandang rendah isu merentas negeri.
Namun, perkara itu sebenarnya adalah dakwaan palsu semata-mata selepas cucu kepada arwah Mustafa Ismail, 82, iaitu Nur Amirah Abu Bakar, 32, tampil menjelaskan keadaan.
Menurutnya, arwah datuk dan neneknya, Eshah Yusof, 73, disaring positif wabak itu selepas menjadi kontak rapat kepada bapa saudaranya yang bekerja di sebuah maahad tahfiz di Machang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Jelasnya, dia kemudian memuat naik video di aplikasi TikTok yang menunjukkan datuk dan neneknya dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan hingga tular dan menerima lebih 147,000 tontonan, sejak kelmarin.
"Tujuan saya memuat naik video itu yang dirakam bapa saudara di TikTok adalah sebagai kenangan.
“Itu video terakhir datuk sebelum arwah meninggalkan kami semua.
"Malangnya ada pula orang yang buat cerita arwah dijangkiti Covid-19 kerana ada anaknya balik ke kampung.
“Saya ingin jelaskan tiada anak arwah yang pulang ke kampung, sebaliknya arwah dan nenek dijangkiti daripada Kluster Pangkal Chuit,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pemergian arwah memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga terutama menjelang Aidilfitri namun, mereka reda.
“Nenek masih dirawat di HKK dan dilapor stabil,” katanya.
@emieysandra89♬ original sound - dewi - dewiadja