Penceramah bebas, PU Amin berharap Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang sudah menukar status jantinanya kepada wanita secara sah di Australia diberikan kesembuhan dan hidayah daripada Allah SWT.

PU Amin menerusi perkongsian di InstaStory berkata, Sajat mungkin berjaya di sana (Australia) tetapi bukan di Malaysia kerana di negara ini masih ada individu bertanggungjawab untuk menghalang perkara tersebut daripada berlaku.

“Ya dia berjaya, tapi bukan di Malaysia. Kerana di Malaysia ada KITA yang terus menghalang insan seperti ini menukar jantinanya dengan sengaja.

“Moga lekas sembuh dan diizin hidayah sampai pada nya,” tulis PU Amin disertai potongan berita daripada sebuah media mengenai perkara tersebut.

Sementara itu Kosmo melaporkan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Sajat adalah kekal seperti yang termaktub dalam kad pengenalannya.

“Jantina dia (Sajat) adalah sebagaimana dalam IC (kad pengenalan) di negara kita dan itu yang kita guna pakai.

“(Kad pengenalan) adalah dokumen yang sah di negara ini untuk menentukan jantina dia (Sajat) dan sama ada dia ingin pilih negara atau alam mana untuk tentukan jantina, perkara itu kita tidak campur,” katanya kepada media selepas melancarkan buku Manual Komuniti Hijrah (Lesbian dan Gay) pada Rabu.

Terdahulu media tempatan melaporkan Sajat melalui perkongsian secara langsung di Instagram miliknya telah memaklumkan yang dirinya telah menukar jantinanya kepada wanita secara sah di Australia.

[[BACA: “Rasa Seperti Dilahirkan Semula” - Sajat Kini Wanita Di Australia, Dakwa Berjaya Daftar Status Tukar Jantina]]

Sajat kini berada di Australia sejak Oktober lalu dan memulakan kehidupan baru kerana mendakwa tidak selamat tinggal di Malaysia.

Dia sebelum itu turut menjadi buruan pihak berkuasa sehingga melarikan diri ke Thailand sebelum ditahan imigresen negara itu pada 8 Sep 2021 kerana memiliki pasport tidak sah.