Siti Bantu Tampung Kos
Menurut ibunya, Siti Sairah Tarudin berkata, penyertaan anaknya itu sudah dibatalkan berikutan kos yang tinggi sehingga mencecah RM80,000.
Namun, tiga minggu sebelum pertandingan berlangsung, kakaknya, Siti, telah membantu mencukupkan dana bagi membolekan Umairah ke pertandingan yang diwakili 30 buah negara itu.
“Sebenarnya, kami sudah pun menghubungi penganjur untuk membatalkan penyertaan dalam pertandingan itu berikutan kos termasuk penginapan, penerbangan dan perbelanjaan lain mencecah puluhan ribu ringgit.
“Tetapi kami tidak maklumkan kepada Siti sebaliknya berusaha dulu cari sumber kewangan. Cuma malangnya, dana yang kami berjaya kumpulkan terlalu sedikit.
“Jadi, apabila Siti tahu, dia terus meminta Umairah jangan patah semangat. Bukan hanya beri sokongan moral dia juga mencukupkan kos yang boleh dikatakan agak besar jumlahnya itu.
Advertisement
“Kami sangat terhutang budi dan terharu kerana dengan pertolongannya Umairah dapat mengharumkan negara,” katanya kepada Gempak.
Sairah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Kontrak Umairah Sebagai Artis Di Bawah Naungan Syarikat Siti Nurhaliza Legacy Sdn Bhd (SNL) pada Isnin.
Umai Takkan Sia-Sia Peluang
Bagi Umairah, dia berbangga apabila berjaya membuktikan kepada rakyat Malaysia khususnya ibu saudaranya.
Malah, Umairah berjanji tidak akan mensia-siakan peluang terbaik yang diberikan kini.
“Saya tahu diri ini membawa amanah banyak pihak walaupun calon lain pernah memasuki pertandingan lebih besar termasuk America’s Got Talent (AGT) tetapi saya tidak gentar.
“Pemilihan sebagai srtis pertama SNL juga merupakan satu impian saya sejak kecil kerana saya dibesarkan dengan lagu-lagu Siti sejak dari dahulu lagi.
“Justeru, ini merupakan peluang yang juga tidak akan saya sia-siakan selain akan terus menimba ilmu daripada pengalaman Mak Iti dan menerusi pengurusan SNL secara amnya,”katanya.
Untuk rekod, pertandingan yang berlangsung di California itu menobatkan Umairah sebagai juara dalam kategori Vokal Junior dan membawa pulang pingat emas.