Penyanyi dan Wani Kayrie, tidak kisah berhabis ribuan ringgit hanya untuk membeli tiket penerbangan pulang ke kampung halaman di Sabah bersama keluarga.

Menurut Wani, dia bekerja keras sepanjang tahun hanya untuk memastikan keluarganya gembira dapat menyambut hari raya di kampung tercinta.

“Tiket penerbangan dua hala ke Sandakan untuk saya sekeluarga berjumlah sekitar empat angka. Saya selalu kata kalau ada rezeki lebih, setiap tahun saya akan belanja keluarga balik kampung.

“Saya sebenarnya sudah tempah tiket penerbangan dari tahun lalu lagi dan kebiasaannya kami akan tempah lebih awal, tapi saya akui harga tiket tetap mahal tapi tak mengapalah.

“Orang kata untuk Hari Raya ini kita kena berbelanja lebih sikit sebab saya balik kampung pun setahun sekali sahaja, jadi rasa rugi kalau kita tidak berhabisan,” katanya ketika ditemui Gempak.

Wani berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran single Balik Raya, lagu kolaborasinya bersama Indah Ruhaila dan Nadeera di pusat beli belah, Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.


Kerja keras untuk gembirakan ibu

Bagaimanapun kata Wani, dia mengakui tidak ramai yang mampu membelanjakan jumlah yang besar untuk membeli tiket penerbangan namun percaya setiap manusia mempunyai rezeki masing-masing.

“Sebenarnya saya juga tumpang simpati sebab saya tahu tak ramai yang mampu tapi bila saya dengar ibu saya sibuk bekerja dan pernah tidak dapat dapat pulang ke kampung, ia membuatkan saya sedih.

“Jadi saya tekad untuk bekerja keras, sekurang-kurangnya saya nak balas jasa ibu dengan cara sebegini, saya mahu bawa dia balik kampung dan bergembira dengan keluarga dia.

“Melihat orang lain tak dapat balik, saya rasa sedih kerana saya juga pernah berada di situasi seperti itu, mungkin rezeki mereka akan datang di kemudian hari,” ujarnya.

BERITA TRENDING: “First In Malaysia..” - Wani Kayrie ‘Belanja’ Rupa Kereta Mercedes Baharu Dalam Rona Ungu Lavender

Dalam perkembangan lain, Wani tampil dengan lagu raya terbaharu berjudul Balik Raya bersama Indah Ruhaila dan Nadeera Zaini.