Seorang warga Bangladesh bernama Md Rayhan Kabir dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Menerusi lama sosial Twitter, Jabatan Imigresen telah mengeluarkan kenyataan bagi menjejaki lelaki yang menggunakan pasport bernombor BW0974403 dengan alamat terakhir di Sirhan Legacy Sdn Bhd B-7-9, Menara Uncang Emas, No 85 Jalan Loke Yew 55200, Kuala Lumpur.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh hubungi Penolong Pengarah Imigresen (PPI), Nurulmasha Nazlinan Hussin.

"Mereka juga boleh hubungi Bahagian Operasi Siasatan Pendakwaan, Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya menerusi talian 03-88801298/1294 pada waktu pejabat dan 03-88801555 selepas waktu pejabat," kata jabatan tersebut kepada Berita Harian.



Lelaki terbabit sebelum ini dikesan membuat pelbagai dakwaan palsu berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara ini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan COVID-19.

Dia melemparkan dakwaan tidak berasas itu menerusi satu kenyataan diberikannya kepada stesen televisyen antarabangsa, Al Jazeera, yang membuat laporan khas berhubung pendatang tanpa izin di negara ini.

Hasil tinjauan Gempak di Twitter, rata-rata wargamaya menyokong tindakan ini dan memohon agar warga Bangladesh ini dihantar pulang.

“Kembalilah kau ke tempat asalmu, daripada menjadi parasit di negeri orang,” tulis seorang wargamaya.

“Airport tutup, takleh lari mana kecuali kedutaan dia. Standy polis depan kedutaan. Jangan bagi dia lolos masuk,” cadang seorang wargamaya.

“Cari sampai dapat hantar dan senarai hitam dari masuk ke negara ini,” mohon seorang wargamaya.

“Apabila diletakkan di dalam senarai dikehendaki, individu itu sangat penting, bernilai tinggi dan perlu serah diri bagi bantu siasatan atau bersihkan nama. Kerana itu photo-fit dikeluarkan pihak berkuasa agar masyarakat sama-sama cari individu dinyatakan demi keselamatan awam,” ujar seorang wargamaya.

“Boleh cari dekat TTDI takpun bangsar,” usik seorang wargamaya lagi.

Polis juga dilaporkan memulakan siasatan terhadap Al Jazeera susulan penyiaran dokumentari itu yang antara lain mendakwa layan buruk Malaysia terhadap warga asing ketika berusaha mengekang penularan COVID-19 menerusi langkah PKP.