Laman Utama

Wings Dan Sebuah Lagi Pembuktian Sejarah

gempak
Gempak
17/07/2022
12:51 MYT
Sponsor Banner
Wings Dan Sebuah Lagi Pembuktian Sejarah
Dalam durasi 15 minit untuk hari pertama dan 5 minit untuk hari kedua, tiket Fabulous Friday Wings terjual habis. Ini sebuah pembuktian bahawa perjalanan konsert-konsert Wings tidak pernah gagal meninggalkan kesan dan kepercayaan buat khalayak.
Di tengah-tengah kebanjiran konsert di sana-sini, nama Wings terus terpahat sebagai salah sebuah band yang antara paling lau terjual tiket konsertnya dengan kepercayaan yang utuh oleh para peminat.
Khamis dan Jumaat lepas, Wings muncul dalam rangkaian Fabulous Friday di Dewan Filharmonik Petronas yang dibawakan oleh Shiraz Projects dan satu yang boleh digambarkan keadaannya- suasana pecah!
Muzik dan vokal paduan Wings bergema di seluruh dewan dengan iringan ‘backing vocal’ sejati iaitu para peminat Wings yang tidak terlepas walau satu pun lagu yang dibawakan.
Boleh dikatakan repertoire konsert kali ini dianggap sebagai ‘rare’. Wings membawakan lagu-lagu yang jarang dimainkan di konsert terdahulu. Antaranya Dalam Kehadiran Sofea, Sekeping Kertas Bermaruah, Gema Di Inderaloka, Gemuruh, Lubuk Pusing dan Kuburkan Aku.
Malah komitmen mereka membawakan dua set lagu yang agak berbeza untuk dua malam merupakan sebuah usaha yang wajar diberikan pujian. Bukan sahaja itu, Wings turut membelanja lagu Sejati untuk malam pertama sebagai bonus trak. Manakala untuk malam kedua, mereka melontarkan lagu Harapan dan Sejati sebagai lagu bonus kepada para peminat yang sudah ‘panas’ lantas bangun dari kerusi masing-masing. Total 33 lagu dibawakan dalam konsert dua malam.
Sebuah sejarah tertanda lagi dalam perjalanan kumpulan Wings apabila sebuah lagi lokasi mereka jajahi dengan peninggalan momen dan kesan yang bukan sedikit di hati para peminat. Gabungan lagu-lagu, muzik, bunyi, lampu dan ambience yang berlainan membuatkan konsert ini sebuah lagi penanda aras dan konsert yang perlu diingati, bukan sahaja buat Wings tetapi buat para peminat semua. Dewan Filharmonik telah diterokai dan dirajai oleh Wings dengan jayanya.
Menariknya juga, setiap 3 lagu dinyanyikan, Awie selaku vokalis akan menerangkan perihal lagu yang dinyanyikan dengan sejarahnya sekali termasuk sejarah lagu Gemuruh yang asalnya dinyanyikan oleh Wings sahaja.
Sakit bukan alasan untuk Wings tidak memberikan persembahan yang terbaik untuk malam itu. Semua itu tidak muncul di minda dan penglihatan khalayak walau Awie mengaku dirinya dan Edrie Hashim bukan dalam keadaan yang sihat total untuk membuat persembahan. Namun apa yang mereka berikan lebih dari sakit. Sakit untuk meninggalkan momen itu kepada penghujungnya!
Tahniah buat Wings dan Shiraz Projects yang berjaya muncul dengan sebuah lagi konsert yang membuktikan anak-anak seni sentiasa serius dalam perjalanan kerjaya mereka dan kehadiran pelaku-pelaku sebegini bukan sahaja mewarnai industri seni tanah air tetapi meninggalkan sejarahnya yang tersendiri.
Teks: Opie Sofia
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live