Penyanyi Aweera meminta orang ramai agar tidak menyamakan situasi kewangan artis tempatan dan antarabangsa.

Jelas Aweera, pendapatan yang diperoleh artis antarabangsa berbeza nilainya dengan artis tempatan dengan sokongan yang ala kadar dari peminat sendiri.

"Yang kayakan artis luar tu orang kita la.

"Jangan tanya kenapa artis kita tak sekaya artis luar sebab orang kita sendiri tak kasi sokongan, jangan bodoh sangat otak tu nak bezakan dengan international artis lah adoi!

"Kalau tak, dah lama artis kita sama kaya dengan Metallica atau Scorpion, tak payah bandingkan dengan Kpop la adoi!

"Artis luar ni jual lagu seluruh dunia paling pekak pun ambil tahu berapa ramai penduduk dia," luah Aweera.

Aweera turut menyarankan pihak tertentu agar lebih prihatin terhadap nasib golongan artis terutama ketika keadaan mendesak seperti sekarang.

"Pihak-pihak tertentu dalam industri juga harus pandang benda-benda macam ini.

"Sebab bila ada keadaan yang sukar sebegini, bayangkan berapa ramai artis yang bekerja keras untuk industri muzik Malaysia sekarang berada dalam keadaan sukar.

"Kasi adil dan saksamalah jangan terlalu pandang pada 'views', 'rating' dan sebagainya.

"Sekarang 'views' berpuluh juta dan sebagainya dulu tak ada YouYube dan tak perlu menipu atau ditipu dengan nombor-nombor yang mengarut ni sampai zero kualiti (tak semua)," tambahnya.

Keadaan segelintir pihak yang memandang 'populariti' itu menyebabkan ramai artis tidak boleh cari makan.

"Sampai terlalu ramai tak bleh cari makan bila keadaan seperti Covid-19 ni muncul.

"Sekarang korang sendiri boleh rasa betapa sukarnya bila tak ada income atau kerja korang kena hentikan!

"Nah... sekarang korang rasakanlah sedikit apa yang mereka rasa berpuluh tahun!

"Bayangkan pada artis-artis yang tidak dipedulikan sebelum ini (yang berkualiti bukan yang mengarut).

"Saat sekarang ni bagaimanakah mereka?

"Yang ada duit dan kaya bolehlah sembang kasi bimbang," ujarnya.



Situasi semasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan menyaksikan pelbagai keluhan dan rintian golongan artis yang risaukan kelangsungan hidup masing-masing.

Apatah lagi, ramai dalam kalangan anak seni yang tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).



Sekadar pesanan, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!