Sekilas
- Adira Suhaimi mengesahkan dia kini mempunyai teman istimewa tetapi enggan berkongsi lebih lanjut tentang hubungan tersebut.
- Kes pengesahan lafaz rujuk antara Adira dan bekas suaminya, Datuk Red, masih belum selesai dan ditangguhkan ke 25 Jun untuk prosiding seterusnya.
- Pasangan ini berkahwin pada Disember 2015, berpisah pada April 2024, dan dikurniakan empat cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka.
Pelakon dan penyanyi, Adira Suhaimi tidak menafikan dirinya kini mempunyai seorang teman istimewa yang cukup bermakna dalam hidupnya.
Pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi itu bagaimanapun memilih untuk tidak berkongsi lebih lanjut mengenai hubungan tersebut.
"Apa yang saya boleh katakan, lelaki tersebut sangat istimewa bagi saya.
"Saya tak boleh nak ceritakan sejak bila bersama dengan lelaki itu. Saya tidak selesa untuk berkongsi dengan lanjut,"katanya kepada Gempak.
Adira berkata demikian ketika ditemui selepas selesai prosiding perbicaraan kes pengesahan lafaz rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Sayang Orang Sama itu turut memohon doa yang baik-baik berhubung masa depan hubungannya.
"Insyaallah kalau ada rezeki, kalau semuanya selesai dan kalau ada jodoh. Doakan yang baik-baik,"ujarnya.
Ditanya sama ada tindakan Datuk Red atau nama penuhnya Adnan Abu yang memfailkan pengesahan lafaz rujuk sebelum ini berkait dengan rasa cemburu terhadap hubungan mereka, Adira enggan mengulas lanjut.
"Saya tak boleh komen perkara tersebut.Allahualam,"katanya.
Terdahulu, kes pengesahan lafaz rujuk antara Adira dan Datuk Red yang difailkan di mahkamah masih belum menemui penyelesaian dan telah ditangguhkan kepada 25 Jun depan bagi proses seterusnya.
Sebelum ini, Adira terkejut apabila bekas suaminya didakwa mengemukakan beberapa syarat untuk membatalkan kes pengesahan rujuk, termasuk menggugurkan saman sivil berkaitan tuntutan hutang serta bayaran tunai sebanyak RM100,000.
Bagaimanapun, Datuk Red tampil menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat termasuk tuntutan wang seperti yang diperkatakan.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Disember 2015 sebelum berpisah pada April 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.