Skip to main content

Berita

Alat Kelamin Dipotong, Perogol Wanita OKU Diikat & Diseret Keliling Kampung

Perogol wanita OKU

Sekilas

  • Seorang lelaki berusia 47 tahun maut selepas dihakimi ratusan penduduk kampung di Kecamatan Tompobulu, Sulawesi Selatan, kerana didakwa merogol wanita OKU.
  • Suspek diikat pada motosikal dan diseret mengelilingi kampung sebelum mengalami kecederaan parah, manakala mangsa menerima rawatan perubatan.
  • Pihak polis sedang menyiasat kejadian dan menegaskan tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri adalah kesalahan undang-undang.

Suasana di sebuah kampung di Kecamatan Tompobulu, Kabupaten Gowa, Sulawesi Selatan gempar apabila seorang lelaki yang didakwa merogol wanita kurang upaya (OKU) maut selepas 'dihakimi' ratusan penduduk, pada Rabu.

Insiden itu tular selepas beberapa rakaman video memaparkan suspek lelaki, dikenali sebagai A, 47 tahun diikat pada sebuah motosikal sebelum diseret mengelilingi kampung oleh orang ramai.

Menurut maklumat awal, lelaki terbabit dipercayai menjadi sasaran kemarahan penduduk selepas dikatakan menganiaya dan merogol seorang wanita OKU di sebuah kampung dalam daerah berkenaan.

Beberapa foto yang diterima pihak media tempatan turut menunjukkan keadaan fizikal suspek yang parah, termasuk alat kelamin yang didakwa telah dipotong, serta kesan koyakan dan luka tajam pada beberapa bahagian tubuh.

Satu lagi gambar memaparkan wanita yang dipercayai mangsa.

Dia mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan daripada pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Gowa, AKBP Muhammad Aldy Sulaeman mengesahkan kejadian dan menyatakan pihaknya segera ke lokasi sebaik menerima laporan.

“Memang terdapat beberapa video tular berkaitan insiden penganiayaan terhadap seorang individu.

"Kami telah berkoordinasi dengan Balai Polis Tompobulu. Berdasarkan maklumat yang kami terima, keadaan di lokasi kini terkawal,” katanya dalam kenyataan malam Rabu.

Aldy mengesahkan suspek maut selepas dipukul dan diseret oleh penduduk, namun pihak polis masih menyiasat dakwaan bahawa suspek benar-benar terlibat dalam kejadian rogol tersebut.

“Maklumat awal menyebut mangsa dipukul kerana disyaki merogol seorang wanita tetapi kami masih meneruskan siasatan bagi menentukan kronologi sebenar,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kejadian melibatkan penduduk dari beberapa kampung termasuk Desa Rappolemba, Desa Rappoala dan Kelurahan Cikoro’.

Sebagai tindakan awal, pasukan Siasatan Jenayah Polres Gowa telah dikerahkan untuk menjalankan siasatan lanjut, dibantu beberapa unit lain bagi mengelakkan insiden susulan.

“Anggota yang digerakkan termasuk pasukan perubatan untuk proses bedah siasat, Unit Samapta, Unit Siasatan Jenayah, Unit Risikan, serta Unit Bimbingan Masyarakat. Kami juga telah berhubung dengan pasukan forensik Polda Sulsel,” katanya.

Polis menegaskan tindakan zalim atau mengambil undang-undang di tangan sendiri adalah satu kesalahan dan siasatan terhadap insiden pembunuhan suspek akan diteruskan mengikut peruntukan undang-undang.

Sumber: Sinar Harian

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement