Ringkasan AI
- Kasman Kassim menegaskan pentingnya sokong filem tempatan dengan menonton di pawagam untuk perkembangan industri perfileman Malaysia.
- Seorang netizen berkongsi cadangan menonton filem Banduan melalui Telegram, yang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
- Pelakon Fadhli Masoot memberi reaksi sinis terhadap sokongan menonton filem melalui saluran tidak sahih seperti Telegram.
- Rata-rata netizen mengecam tindakan menonton filem cetak rompak kerana ia merosakkan industri perfileman tempatan.
- Netizen menyeru orang ramai supaya menonton filem tempatan melalui saluran rasmi demi memastikan pencipta filem mendapat pulangan yang adil.
Seorang pengguna di Facebook yang dikenali sebagai Kasman Kassim berkongsi pandangan beserta tangkap layar perkongsian seorang netizen mengenai menonton filem Banduan melalui saluran yang tidak sahih.
Kasman menegaskan orang ramai seharusnya menyokong filem tempatan agar industri perfileman negara terus berkembang.
"Bagi saya sokong la sekali sekala tengok filem tempatan di pawagam sebab dengan kutipan tinggi, ia dapat menyumbang kepada filem berbajet tinggi setersunya serta filem tempatan juga akan semakin bertamah baik dari semasa ke semasa," tulisnya.
Dalam hantaran itu, netizen berkenaan mendedahkan bahawa suaminya menyarankan menonton filem Banduan melalui aplikasi Telegram sahaja tanpa perlu ke pawagam.
Perkongsian itu mencetuskan perdebatan hangat sehingga pelakon Fadhli Masoot turut bersuara.
"Terima kasih sebab sudi sokong dekat Telegram. Moga maju lah industri Telegram dari industri filem Malaysia," ujar Fadhli.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan menonton filem melalui saluran tidak sahih, yang dianggap merosakkan industri perfileman tempatan.
"Teruk sangat sampai hilang malu tengok cetak rompak.
"Banduan seronok tengok dekat wayang. Dengan rungut bunyi, muzik latar belakang dan peranan kamera.
"Sokong la filem dengan saluran betul. Tengok kat Telegram tanpa rasa bersalah. Merosakkan indusri filem sahaja.
"Macam mana filem tempatan nak maju, kalau semua nak tengok percuma. Tak fikir halal haram ke menonton dari sumber yang tidak membawa pulangan kepada pencipta filem," komen netizen.
Filem arahan Kroll Azry ini merupakan adaptasi daripada filem pecah panggung India, Kaithi dan mula ditayangkan pada 6 November lalu.
Banduan mengisahkan seorang banduan yang membantu pihak polis menumpaskan sindiket dadah dalam misi berbahaya ketika dalam perjalanan bertemu anak perempuannya.
Filem aksi ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.