Sekilas
- Seorang wanita berusia 34 tahun ditahan selepas meludah, memaki hamun, dan membuat isyarat lucah kepada anggota polis yang datang ke lokasi kejadian di Kota Setar.
- Wanita tersebut dipercayai kurang siuman dan didakwa mengganggu ketenteraman awam serta mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 353, 298, dan 509 Kanun Keseksaan, dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada 1 Januari 2026 untuk permohonan reman.
Seorang wanita ditahan selepas dikatakan bertindak meludah serta memaki hamun anggota polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar iaitu Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, kejadian berlaku ketika pasukannya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.11 tengah hari mengenai wanita dipercayai kurang siuman telah menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di kawasan berkenaan.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati suspek berumur 34 tahun merupakan seorang wanita tempatan dikesan membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
“Anggota polis kemudian memperkenalkan diri serta cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek supaya memberi kerjasama,” katanya.
Tambah Syed Basri, suspek kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara serta memaki hamun anggota yang bertugas.
Bukan itu sahaja, suspek turut didakwa membuat isyaray lucah dengan jari tengah ke arah salah seorang anggota polis serta membaling kad pengenalannya ke arah anggota terbabit selain meludah sebanyak dua kali.
“Suspek juga meludah ke arah beberapa rakan sekerjanya yang berada di lokasi kejadian.
“Dalam kejadian sama, suspek turut mengeluarkan kata-kata yang menghina agama Islam,” katanya.
Suspek kemudiannya ditahan pada petang Rabu dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada 1 Januari 2026 bagi mendapatkan permohonan reman.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam semasa menjalankan tugas.
Siasatan juga akan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengeluarkan kata-kata yang boleh mendatangkan kemarahan atau menyinggung perasaan penganut agama lain dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan melalui perkataan atau isyarat tidak senonoh.
Sumber: Sinar Harian