"Tak terbayang perasaan saya ketika itu apabila melihat jasad suami terlentang dalam sawah. Saya jerit minta tolong dan pangku jasadnya sambil mengurut dada arwah," kata Marliana Awang, 39.
Marliana adalah isteri kepada Nasir Md Nanyan, 45, yang ditemukakan meninggal dunia dalam pergaduhan dengan adiknya dengan kepala mangsa putus dalam sawah di Kampung Pida 3, Alor Setar, malam tadi.
Advertisement
Marliana yang menceritakan semula kejadian itu berkata, dia sempat bersembang dengan arwah suaminya pada jam 6.50 petang memaklumkan beberapa kambing peliharaan mereka tidak dibawa pulang.
"Waktu itu saya cakap kambing kita tak ambil lagi, lani (sekarang) dah dekat nak pukul 7 petang dah.
"Arwah pun terus keluar cari kambing, tetapi tidak pulang selepas itu menyebabkan saya risau.
"Tidak lama kemudian, ada orang kampung datang beritahu ada orang bergaduh dekat sawah tidak jauh dari rumah emak... ketika itu saya tak sedap hati dah," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Sabtu.
Marliana atau lebih dikenali sebagai Hawa berkata, dia terus keluar dari rumahnya yang terletak selang dua unit di tepi rumah ibunya dengan menaiki motosikal.
Katanya, sejurus tiba di tempat kejadian, dia terus turun daripada motosikal dan pergi ke jasad suaminya.
"Waktu itu lagi 10 minit azan Maghrib berkumandang dan saya tak dapat gambarkan perasaan ketika itu.
"Saya urut dada suami dan buang selut di badannya sambil meminta doa kepada Allah supaya segala urusannya dipermudahkan dan arwah pula meninggal dalam keadaan macam ini," katanya.
Marliana berkata, hasil perkahwinannya dengan arwah mereka mempunyai dua anak lelaki berusia tujuh dan 12 tahun.
Katanya, sepanjang perkahwinan dia mengenali arwah seorang yang baik dan rajin bekerja.
"Pokok di halaman rumah semuanya dia yang tanam selain memelihara kambing, dia juga mengambil upah menabur padi.
"Setiap hari dialah yang menghantar dan mengambil anak dari sekolah hinggakan anak-anak rapat dengannya," katanya yang juga suri rumah.
Bagaimanapun, dia reda dengan pemergian arwah suaminya dan tidak menyangka kejadian itu berlaku.
Katanya, jenazah kini masih berada di Jabatan Forensik HSB dan dijangka dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Pida 3, Jerlun.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dengan kepalanya putus akibat ditetak adik ipar dalam satu pergaduhan di kawasan sawah di Kampung Pida 3, malam tadi.
Selain itu, polis turut menemui beberapa tetakan di badan mangsa selain bahagian kepala yang putus kira-kira satu meter dari badan.
Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk punca dan motif kejadian itu berlaku.
Sumber: BH Online