Skip to main content

Berita

Graduan Perlu Kuasai Kepakaran, Kemahiran Sosial Untuk Kekal Relevan – CEO Astro

Ceo Astro

Sekilas

  • Graduan perlu membina kepakaran kukuh dalam satu bidang sambil menguasai kemahiran sosial dan teknologi untuk kekal relevan dalam industri.
  • CEO Astro, Euan Smith, menekankan kepentingan kecerdasan emosi (EQ) yang menyumbang 85% kejayaan dalam kerjaya berbanding IQ.
  • Program CEO@Faculty di UiTM menyediakan platform interaktif antara pelajar dan pemimpin industri bagi memastikan pembelajaran relevan dan aplikatif.

Graduan yang mampu kekal relevan dalam industri ialah mereka yang membina kepakaran kukuh dalam satu bidang, namun memiliki pengetahuan luas merentasi disiplin termasuk kemahiran sosial dan teknologi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, berkata pendidikan di menara gading penting, tetapi keupayaan meneroka pengetahuan baharu akan menentukan hala tuju masa depan seseorang.

 

“Apa yang sebenarnya tidak menjadi lapuk? Ia adalah keupayaan untuk berfikir secara kritis, kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan, serta ketahanan diri untuk terus bangkit dan tidak berputus asa walaupun gagal pada percubaan pertama … paling utama ialah mencari jalan untuk menjadi berguna,” katanya.

 

Euan berkata demikian semasa menyampaikan perkongsian bertajuk "Think Like a Generalist: A Graduate's Cheat Sheet to Survive the Workplace & Industry" di program CEO@Faculty di UiTM Shah Alam.

 

Malah, beliau turut menegaskan bahawa kira-kira 85 peratus kejayaan seseorang dalam kerjaya bergantung kepada kecerdasan emosi (EQ), bukannya tahap kecerdasan intelek (IQ).

 

Menurutnya, kecerdasan emosi merangkumi keupayaan untuk bekerjasama, membina kepercayaan, mempengaruhi orang lain serta mewujudkan persekitaran kerja yang selesa dan positif.

 

“Hakikatnya, 85 peratus kejayaan anda ditentukan oleh faktor-faktor ini,” katanya lagi.

 

Menyentuh mengenai program CEO@Faculty yang dianjurkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata inisiatif itu bukan sekadar platform perkongsian pengalaman industri.

 

Sebaliknya, ia merupakan pelaburan jangka panjang dalam membentuk minda serta nilai graduan UiTM, selaras dengan usaha universiti menyediakan pembelajaran yang relevan dan aplikatif.

 

"CEO@Faculty membuka ruang pembelajaran yang lebih bermakna apabila pelajar dapat berinteraksi secara langsung dengan pemimpin industri.

 

“Pendekatan ini turut menyokong usaha universiti dalam memastikan pembelajaran yang bersifat aplikatif, relevan dan berteraskan realiti dunia pekerjaan,” katanya melalui kenyataan media.

 

Program itu juga disertai ratusan pelajar serta pensyarah daripada FKPM, yang hadir untuk mendapatkan input terkini mengenai perkembangan industri dan cara mereka dapat menyesuaikan diri serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.

 

Sumber - AWANI

Must-Watch Video

Advertisement