Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, akan menjadi antara lebih 70 individu pelbagai kewarganegaraan yang dibenarkan meninggalkan Israel pada Isnin selepas ditahan ketika menaiki flotilla bantuan Gaza yang dipintas tentera negara itu.
Menurut kerajaan masing-masing pada Ahad, kebanyakan mereka yang dibebaskan daripada tahanan Israel akan diterbangkan ke Greece sebelum pulang ke negara asal.
Advertisement
Kumpulan itu termasuk 28 warga Perancis, 27 (warga Greece), 15 (warga Itali) dan sembilan (warga Sweden).
Seramai 21 warga Sepanyol pula telah tiba di negara mereka pada Ahad.
Namun, masih terdapat beberapa warga asing yang kekal ditahan termasuk 28 warga Sepanyol.
Kesemua mereka menaiki 45 kapal flotilla Global Sumud yang membawa aktivis dan ahli politik dengan tujuan melepasi sekatan Israel untuk menghantar bantuan ke Gaza, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan krisis kebuluran sedang berlaku.
Israel mula memintas kapal-kapal berkenaan di perairan antarabangsa pada Rabu lalu.
Seorang pegawai Israel berkata pada Khamis, lebih 400 individu dihalang daripada sampai ke wilayah Palestin itu.
Kementerian Luar Itali dan Greece mengesahkan warganegara mereka akan diterbangkan dari Israel ke Athens pada Isnin, manakala Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata, 15 rakyat Itali itu akan dibantu untuk transit pulang ke tanah air.
Kementerian Luar Perancis pula memaklumkan, 28 rakyatnya akan diterbangkan ke Greece, sebahagian besar daripada 30 warga Perancis yang ditahan Israel.
Media Sweden melaporkan sembilan rakyatnya turut dijangka ke Greece meskipun Kementerian Luar Negara itu belum mengesahkan destinasi.
Sebelum ini, kumpulan pertama terdiri daripada 26 warga Itali telah pulang ke negara itu pada Sabtu, tetapi baki 15 lagi terpaksa menunggu proses pengusiran kehakiman selepas enggan menandatangani borang pelepasan sukarela.
Beberapa warga Itali mendakwa mereka menerima layanan yang sangat hina daripada pihak berkuasa Israel.
Wartawan Fanpage, Saverio Tommasi berkata, dia dipukul di bahagian belakang dan kepala ketika dalam tahanan.
“Kami dilayan seperti monyet tua dalam sarkas paling teruk era 1920-an,” katanya yang dipetik agensi berita Ansa.
Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard memberitahu AFP, pegawai kedutaan mereka di Tel Aviv telah dibenarkan melawat sembilan rakyat Sweden berkenaan.
“Lewat Ahad, pihak berkuasa Israel memaklumkan bahawa mereka akan membenarkan rakyat Sweden meninggalkan Israel pada Isnin dengan penerbangan,” katanya.
Seorang warga Sepanyol, Rafael Borrego, yang selamat pulang pada Ahad turut mendakwa tahanan mengalami penderaan fizikal dan mental berulang kali, termasuk dipukul dan dipaksa berbaring di lantai.
Sumber: Astro AWANI