Seorang aktivis Itali yang juga kapten kapal Maria Cristin dalam misi Global Sumud Flotilla, Tommaso Bortolazzi mengumumkan dirinya memeluk Islam semasa dalam tahanan Tentera Israel.
Detik paling bersejarah dalam hidupnya itu dikongsikan Bortolazzi menerusi temu bual bersama media tempatan sebaik tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan rejim zionis.
Advertisement
Bortolazzi juga dengan bangga dan penuh rasa bersyukur menyifatkan dirinya seperti seorang bayi yang dilahirkan semula selepas memeluk Islam.
“Saya pilih ini (memeluk Islam) untuk diri saya. Rasanya seperti bayi yang baru lahir dan saya sangat gembira,” katanya dalam rakaman temu bual yang tersebar di media sosial.

Dia juga menceritakan pengalaman layanan buruk tentera Israel kepada kru kapalnya yang kebanyakan dari Turkiye.
“Kebanyakan kru saya dari Turkiye dan mereka beragama Islam. Sewaktu mereka solat, polis Israel memaksa mereka berhenti melakukan kewajipan ini.
“Saya menentang tindakan mereka. Selepas itu saya mengucap khalimah syahadah.
“Hari-hari terakhir di dalam penjara sangat sukar. Kami berdepan detik mengerikan, ada ketakutan kerana kami mempertaruhkan nyawa bersama-sama, namun kami tetap bersatu," katanya.
Lelaki itu juga memberitahu tujuan menyertai misi GSF adalah sebagai keputusan terbaik yang dilakukannya.
"Saya berada dalam misi (GSF) kerana Berasa itu perkara terbaik untuk dilakukan. Saya boleh lakukan untuk rakyat Palestin dan juga negara saya kerana kami tidak boleh melihat pembunuhan beramai-ramai lagi,” katanya lagi.
Terdahulu, rakaman video memaparkan seorang lelaki memaklumkan Bortolazzi bertanya kepadanya 'adakah Tuhan akan menerimanya sebagai Muslim kerana dia bertatu?'
Lelaki itu kemudian menjawab 'ya' dan memaklumkan bahawa dirinya yang membantu Bortolazzi mengucap dua kalimah syahadah.
"Semasa dalam kereta penjara, dia mengulangi (kalimah syahadah) yang saya ucapkan dan dia menjadi Muslim," kata lelaki itu.
Dalam video sama, Bortolazzi dilihat memeluk lelaki berkenaan yang dipercayai antara sukarelawan GSF yang ditahan Israel sejak Khamis lalu.