Polis menembak mati seorang guru lakon selepas menculik 17 kanak-kanak bersama dua orang dewasa dan menjadikan mereka orang tebusan di sebuah studio lakonan di India pada Khamis.
Insiden dramatik yang berlaku selama tiga jam itu berakhir selepas suspek enggan berundur dan pihak polis memecah masuk menerusi tingkap tandas sebelum menembak lelaki yang dikenali sebagai Rohit Arya.
Advertisement
Suspek diumumkan meninggal dunia sekitar pukul 5 petang waktu tempatan di sebuah hospital, lapor The Independent.
Menurut kronologi kes, kanak-kanak sekitar usia 10 hingga 15 tahun tiba di studio milik suspek iaitu RA Studio untuk menjalani uji bakat bagi sebuah projek siri web namun bertukar menjadi tawanan lelaki itu.
Arya menerusi video yang disiarkan mengatakan dia bukan seorang penjenayah dan menculik serta menawan mangsa bukan untuk meminta wang tebusan.
Sebaliknya dia hanya mahu bercakap dan berunding sesuatu.
“Saya bukan pengganas. Saya juga tidak mahu duit.
“Saya hanya ada permintaan yang sederhana. Saya mahu bercakap dan sebab itu saya tawan kanak-kanak ini sebagai tebusan,” ujarnya dalam video tersebut.
Namun pihak berkuasa tidak tunduk dengan permintaannya dan menyerbu masuk. Mereka menemui senapang air dan beberapa cecair yang tidak dapat dikenal pasti.
Kanak-kanak yang menjadi tawanan pula sudah diselamatkan dan dipulangkan kepada keluarga masing-masing.