Skip to main content

Viral

Insiden Buli Jalanan Jejas Reputasi, Individu Terbabit Bukan Lagi Rakan Kongsi Jenama Pakaian Tempatan

stoned

Sekilas

  • Seorang lelaki yang berkelakuan samseng di SS15 digugurkan sebagai rakan kongsi Stoned & Co selepas video tular yang mengaitkan perniagaan mereka tersebar.
  • Pengasas syarikat, Andrew Ngo, menegaskan lelaki itu tiada kaitan lagi dengan syarikat dan tindakan buli jalanan tersebut menjejaskan reputasi mereka.
  • Stoned & Co mengambil inisiatif mengadakan program kebajikan dengan mengagihkan pakaian dan makanan percuma kepada komuniti sekitar SS15 bagi memulihkan keadaan.

Tindakan seorang lelaki yang berkelakuan ala samseng dalam sebuah video tular di kawasan SS15, baru-baru ini, membawa padah apabila dia digugurkan sebagai rakan kongsi perniagaan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Stoned & Co, Andrew Ngo, berkata syarikatnya terkesan apabila insiden berkenaan dikaitkan secara langsung dengan perniagaan mereka di media sosial.

“Apabila isu ini tular, kami menerima pelbagai reaksi negatif bukan sahaja terhadap individu terbabit, malah turut melibatkan syarikat,” katanya.

Menurut Andrew, pihak pengurusan mengambil tindakan tegas dengan menggugurkan individu berkenaan sebagai rakan kongsi dan menegaskan bahawa lelaki itu kini tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan Stoned & Co.

“Saya sebagai pengasas ingin menjelaskan bahawa individu terbabit sudah tidak lagi terlibat dalam syarikat ini dan tiada sebarang hubungan perniagaan dengan kami,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan buli jalanan yang dilakukan individu itu turut menjejaskan reputasi syarikat apabila wujud gesaan boikot oleh segelintir netizen terhadap produk mereka.

“Saya faham perasaan marah dan kecewa orang ramai terhadap kejadian itu. Justeru, kami mengambil langkah drastik dengan menggugurkan individu berkenaan serta mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjernihkan keadaan,” katanya.

Sebagai usaha memulihkan keadaan dan membantu komuniti setempat, Andrew berkata pihaknya turut mengambil inisiatif mengadakan program kebajikan dengan mengagihkan lebih 200 helai pakaian serta makanan percuma kepada penduduk sekitar SS15 yang terkesan susulan insiden berkenaan.

Sebelum ini, pada 13 Januari lalu, media melaporkan seorang pemandu kereta mewah yang tular kerana berkelakuan ala samseng telah menyerahkan diri kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Insiden itu tercetus selepas satu rakaman video berdurasi satu minit 32 saat tular di media sosial, memaparkan mangsa yang sedang memandu sebelum bertembung dengan seorang lelaki berdiri di tengah jalan.

Rakaman berkenaan turut menunjukkan berlaku salah faham antara kedua-dua pihak sebelum suspek yang menaiki kereta mewah bertindak mengejar mangsa dan berhenti secara mengejut di hadapan kenderaan tersebut.

Must-Watch Video

Advertisement