Sekilas
- Kerajaan Indonesia mendakwa durian lebih layak menjadi buah kebangsaan mereka berdasarkan pengeluaran hampir dua juta tan pada 2024 dan kepelbagaian spesies yang dimiliki.
- Di Malaysia, Durian Manufacturer Association (DMA) telah mengemukakan permohonan rasmi kepada kementerian untuk menetapkan durian sebagai buah kebangsaan, menekankan nilai simbolik dan warisan budaya durian kepada rakyat Malaysia.
- Kementerian Pertanian Malaysia sedang meneliti permohonan tersebut dengan mengambil kira aspek sosioekonomi, nilai eksport, warisan budaya dan penerimaan masyarakat sebelum membuat keputusan.
Kerajaan Indonesia mendakwa bahawa negara itu mempunyai asas yang jauh lebih kukuh berbanding Malaysia untuk menobatkan durian sebagai buah kebangsaan, berdasarkan data pengeluaran dan kepelbagaian spesies yang dimiliki.
Menteri Penyelaras Urusan Pangan Indonesia, Zulkifli Hasan berkata, pengeluaran durian negara itu pada 2024 jauh mengatasi Malaysia, menurut data Badan Pusat Statistik (BPS).
“Indonesia menghasilkan hampir dua juta tan durian pada 2024. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Dengan fakta ini, saya percaya durian ialah Buah Kebangsaan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Data BPS menunjukkan Indonesia mengeluarkan 1.96 juta tan durian pada 2024, angka tertinggi dalam tempoh lima tahun, dengan tumpuan pengeluaran di Jawa, Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.
Beberapa laporan serantau pula menyatakan Malaysia menghasilkan jumlah yang lebih rendah, walaupun nilai eksportnya meningkat menerusi varieti premium seperti Musang King.
Zulkifli menegaskan bahawa durian bukan sekadar komoditi pertanian, tetapi juga warisan budaya serta sumber rezeki jutaan petani di Indonesia.
“Jika kita bercakap tentang simbol kebangsaan, ia mesti berasaskan data dan realiti. Durian Nusantara ialah kekuatan kita di Asia. Mengikut data penyelidikan, Indonesia memiliki 21 daripada 27 spesies durian yang dikenal pasti di dunia, dan sehingga 2024, sebanyak 114 varieti unggul telah didaftarkan,” katanya.
Sementara itu, di Malaysia, durian telah dicadangkan sebagai buah kebangsaan oleh Durian Manufacturer Association (DMA) yang mewakili pengeluar durian tempatan.
DMA secara rasmi mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menetapkan durian sebagai buah kebangsaan, seperti dilaporkan The Straits Times pada 10 November 2025.
Presiden DMA, Eric Chan berkata, durian mempunyai nilai simbolik yang mendalam kepada rakyat Malaysia.
“Setiap rakyat Malaysia mempunyai kisah tentang durian memori, tradisi, sesuatu yang menyatukan kita semua,” katanya.
Beberapa varieti premium Malaysia seperti Musang King (D197), Black Thorn (D200) dan D24 telah menerima pengiktirafan antarabangsa, menjadikan Malaysia antara pengeluar durian berkualiti tinggi dunia.
Perbadanan Harta Intelek Malaysia turut melanjutkan status geographical indication (GI) bagi Musang King selama 10 tahun hingga Mac 2034, bagi mengukuhkan perlindungan terhadap jenama tersebut dan mengelakkan tuntutan negara lain.
“Perlanjutan GI ini ibarat cap pasport untuk Musang King.
"Ia membuktikan durian ini benar-benar berasal dari Malaysia dan merupakan hasil usaha petani serta pengeluar yang berjaya membina jenama global daripada akar tempatan," kata Chan.
Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Nor Sam Alwi, mengesahkan bahawa kementerian telah menerima permohonan rasmi DMA, namun menegaskan bahawa penetapan buah kebangsaan memerlukan kajian menyeluruh.
Beliau berkata, aspek seperti kesan sosioekonomi, nilai eksport, warisan budaya, penerimaan masyarakat dan sumbangan kepada sektor pertanian akan dinilai sebelum keputusan dibuat.
“Kementerian kini sedang meneliti usul ini bersama jabatan dan agensi berkaitan untuk memastikan keputusan dibuat secara berhati-hati dan menyeluruh,” katanya.-Agensi
Sumber: Sinar Harian