Aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri tampil mendedahkan kriteria serta cara pemilihan bagi menyertai delegasi kumpulan Global Sumud Flotilla.
Menurut perkongsiannya di sebuah stesen radio, pemilihan tersebut dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor seperti latar belakang peserta, kekurangan pengangkutan dan sebagainya.
Advertisement
"Peluang kepada orang Malaysia agak luas, asalnya kami menerima penyertaan 120 orang namun terpaksa dikurangkan kepada 80 orang dan akhirnya 30 orang sahaja kerana kapasiti kecil, kekurangan kapal dan sebagainya.
"Kita kalau boleh nak bawa orang yang tak pernah buat kerja kemanusiaan pada masa hadapan. Tapi risikonya amat tinggi kerana saya percaya mereka pasti akan mabuk laut dan menanti perjalanan yang panjang. Misi ini memerlukan kesabaran, keredaan dan persediaan yang tinggi untuk menghadap kematian terutama jika ditawan Israel.
Nadir turut menasihati orang ramai untuk mempersiapkan diri dengan menyertai misi kemanusiaan di Malaysia terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk pergi ke Gaza.
"Ini nasihat am kepada orang ramai yang ingin ikuti misi seperti ini. Kita memang pilih 30 orang yang dah pernah melalui misi kemanusiaan termasuk pempengaruh dan artis. Kena manjakan diri masuk misi kemanusiaan di Malaysia terlebih dahulu. Kat Malaysia pun banyak benda boleh buat.
"Kalau jiran kita pun tak pernah tolong dan tak pernah kasi makan. Tiba tiba nak tolong orang Gaza maksudnya ada benda yang tak kena dengan kita, jiwa kita perlu dibentuk dahulu ke arah itu sebelum membantu orang yang lebih jauh.
Sekadar info, Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.