Sekilas
- Seorang lelaki Korea Selatan didakwa menyiram air panas ke wajah teman wanitanya dari Thailand dalam cubaan mencacatkan wajah wanita itu supaya tidak bertemu lelaki lain.
- Mangsa mendapatkan bantuan jurubahasa untuk berurusan dengan polis dan menegaskan tidak mahu meneruskan hubungan, dengan komunikasi hanya melalui polis atau peguam.
- Mangsa masih dirawat di hospital dan jurubahasa berjanji akan membantu sehingga kes selesai, sambil menolak spekulasi mengenai status imigresen mangsa.
Seorang lelaki warga Korea Selatan didakwa menyiram air panas ke atas teman wanitanya dari Thailand dalam cubaan mencacatkan wajahnya supaya wanita itu tidak dapat bertemu janji dengan lelaki lain.
Memetik Thaiger, mangsa tampil mendapatkan bantuan dalam sebuah kumpulan Facebook komuniti Thailand di Korea Selatan pada 3 Disember.
Dia memaklumkan, dirinya memerlukan jurubahasa untuk berurusan dengan polis tempatan bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap teman lelakinya.
Susulan itu, seorang jurubahasa Thailand tampil membantu menterjemah keterangannya kepada polis.
Dalam pada itu, rakan mangsa kemudian berkongsi, wanita itu sedang tidur ketika lelaki berkenaan menyiram air mendidih ke wajahnya.
Difahamkan, lelaki itu membawa mangsa ke hospital dan memohon maaf selepas kejadian.
Lelaki itu kemudian mengaku sengaja mahu mencacatkan wajah mangsa supaya dia tidak meninggalkannya untuk lelaki lain.
Sementara itu, mangsa pada mulanya bersetuju untuk mengikutinya kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk mendapatkan rawatan sendiri.
Bagaimanapun, mangsa menegaskan dia tidak lagi mahu meneruskan hubungan dengan lelaki itu dan sebarang komunikasi hanya melalui polis atau peguam.
Difahamkan, mangsa masih dirawat di hospital dan jurubahasa berkenaan berjanji akan membantunya sehingga kes selesai.
Jurubahasa itu turut menolak spekulasi dalam talian dan menjelaskan bahawa mangsa memasuki Korea Selatan secara sah menggunakan Korea Electronic Travel Authorisation (K-ETA), yang diperlukan untuk pelawat tanpa visa.
Sumber: Harian Metro