Ringkasan AI
- Seorang lelaki di China, Zhang, didakwa merancang pembunuhan anaknya yang berusia 7 tahun demi mendapatkan wang insurans selepas mengetahui isterinya berlaku curang.
- Zhang berkomplot dengan sepupunya yang merupakan pemandu lori untuk melanggar kereta mereka sehingga anaknya maut di tempat kejadian.
- Sepupu Zhang dijatuhi hukuman penjara dengan penangguhan dan denda selepas didapati menyebabkan kemalangan serta memalsukan sijil kelayakan memandu.
- Syarikat insurans menolak tuntutan pampasan selepas siasatan mendapati sepupu Zhang tidak layak memandu lori tersebut, menyebabkan majikan lori menanggung pampasan.
- Mahkamah menjatuhkan hukuman mati dengan penangguhan dua tahun kepada sepupu Zhang, manakala Zhang turut dijatuhi hukuman mati dan sedang dalam proses rayuan.
Seorang lelaki di China kembali tular selepas didakwa merancang pembunuhan anak kandung sendiri.
Lelaki yang dikenali sebagai Zhang itu cuba membunuh anak lelaki berusia 7 tahun demi mendapatkan wang insurans selepas mengetahui isterinya berlaku curang.
Zhang dilaporkan sering bertengkar dengan isterinya mengenai masalah kewangan dan kecurangan.
Dia kemudian berkomplot bersama sepupunya yang merupakan seorang pemandu lori untuk membunuh anak mereka.
Difahamkan, majikan sepupunya memiliki dua polisi insurans bernilai tinggi untuk lori tersebut.
Pada Oktober 2020, Zhang memberhentikan keretanya di tepi jalan dan meminta anaknya keluar serta berdiri di sebelah kenderaan sebelum lori yang dipandu sepupunya merempuh kereta itu, mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.
Apabila polis tiba, Zhang dilihat menangis sambil memeluk tubuh anaknya yang tidak bernyawa manakala sepupunya pula mendakwa dia terleka dengan telefon bimbit.
Lebih mengejutkan, Zhang turut menyembunyikan hubungan keluarga mereka daripada pihak berkuasa.
Beberapa bulan selepas itu, Zhang menerima pampasan sebanyak 180,000 yuan (RM138,600) dan memberikan 30,000 yuan (RM23,100) kepada sepupunya sebagai upah.
Sepupu Zhang dijatuhi hukuman penjara dengan penangguhan atas kesalahan menyebabkan kemalangan, selain diarahkan membayar satu juta yuan (RM770,000) pampasan yang sebahagian besarnya dilindungi insurans.
Namun, siasatan lanjut mendedahkan sepupu Zhang sebenarnya memalsukan sijil kelayakan pemanduan menjadikannya tidak layak membawa lori tersebut.
Akibatnya, syarikat insurans menolak tuntutan, dan mahkamah mengarahkan majikan, Luo menanggung pampasan.
Terganggu dengan keputusan itu, Luo bersama seorang rakan Zhang, Ye tampil membuat laporan polis.
Menerusi laporan tersebut, difahamkan Ye sebenarnya mengetahui rancangan jahat Zhang namun enggan terlibat dan hanya berdiam diri selepas kejadian kerana rasa takut.
Maklumat itu kemudian membawa kepada siasatan semula, sebelum polis menahan Zhang dan sepupunya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman mati dengan penangguhan dua tahun terhadap sepupu Zhang, termasuk denda 30,000 yuan (RM23,100).
Zhang turut dijatuhi hukuman mati namun telah memfailkan rayuan namun keputusan akhir masih belum didedahkan.