Sekilas
- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarahkan siasat isu lelaki berpakaian menyerupai wanita dalam majlis antarabangsa yang tular di media sosial.
- Menteri Dr Zulkifli Hasan tegaskan perbuatan itu bertentangan dengan syariat Islam dan norma budaya Malaysia serta tidak wajar dinormalisasi.
- Jawi dan MCMC akan bekerjasama menurunkan kandungan berkaitan di media sosial sambil memperkukuh pendekatan dakwah dan pencegahan melalui pelbagai program.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah diarahkan menjalankan siasatan lanjut berhubung isu tular di media sosial melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri majlis bertaraf antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu bagi membolehkan tindakan sewajarnya dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Perbuatan ini telah mengundang reaksi negatif masyarakat dan disifatkan sebagai mencabar sensitiviti agama serta norma budaya di negara ini.
“Dari perspektif Islam, perbuatan menyerupai jantina lain adalah bercanggah dengan syariat dan tidak wajar dinormalisasikan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zulkifli berkata Jawi turut diarahkan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menurunkan kandungan berkaitan di media sosial.
Menurutnya, pendekatan dakwah dan pencegahan akan terus diperkukuh melalui khutbah, program keagamaan dan penyampaian di media sosial bagi meningkatkan kefahaman masyarakat serta memelihara keharmonian dan nilai budaya negara.
Baru-baru ini, tular di aplikasi media sosial kandungan video berdurasi 27 saat memaparkan seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita menerima anugerah dalam satu majlis bertaraf antarabangsa.
Sumber: Sinar Harian menerusi BERNAMA