Sekilas
- Rita Rudaini berkongsi status di Threads tentang kekuatan wanita yang menanggung kepedihan demi kebenaran, disertai video animasi pahlawan wanita menggendong anak.
- Perkongsian Rita mendapat sokongan ramai warganet yang memuji keberanian dan kelantangannya mempertahankan pendirian walaupun berdepan kecaman.
- Rita kini berdepan saman RM1 juta daripada tokoh akademik MRSM Sungai Besar selepas dakwaan kelemahan kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di institusi tersebut.
Perkongsian status dimuat naik pelakon, Rita Rudaini di akaun Threads miliknya kembali mencuri perhatian ramai.
Menerusi hantaran tersebut, Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, menulis kata-kata mengenai kekuatan seorang wanita yang terpaksa menelan kepedihan demi sebuah kebenaran.
“Hatinya kuat, tapi sayangnya luar biasa dan jujurnya pedih.
“Berkata jujur itu tidak selalu manis, kadang yang pedih didengar itulah yang paling benar,” tulisnya.
Pelakon filem Mami Jarum itu turut memuat naik sebuah video animasi memaparkan seorang pahlawan wanita sedang berjuang sambil menggendong anak.

Tidak menunggu lama, perkongsian tersebut dibanjiri komen warganet yang rata-ratanya memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada Rita, selain memuji keberaniannya menyuarakan isu yang dirasakan penting.
Dalam masa sama, ramai turut menyatakan penghargaan terhadap kelantangan Rita kerana konsisten mempertahankan pendirian meskipun berdepan risiko kecaman serta tekanan.
Terdahulu, Rita berdepan tindakan saman daripada tokoh akademik Mohd Roslan Mohd Nor yang juga Yang Dipertua Muafakat MRSM Sungai Besar, serta timbalannya Saidah Haris @ Harith, selepas notis tuntutan sebanyak RM1 juta yang dikemukakan terhadap pelakon itu tidak dipatuhi.
Saman tersebut difailkan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 6 Disember lalu.
Rita sebelum ini mendakwa terdapat kelemahan dalam kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (Muafakat) di MRSM Sungai Besar, yang didakwa menjadi punca kepada beberapa isu yang mengundang perhatian ramai.
Isu tersebut turut menjadi antara topik hangat yang dibincangkan dalam kalangan ibu bapa, khususnya mereka yang mengikuti rapat perkembangan pemilihan pelajar ke institusi di bawah MARA.