Ada sebuah kawasan parkir yang menawarkan peluang kepada orang ramai untuk meletak kenderaan mereka tanpa perlu membawa wang.

Syaratnya, mereka cuma perlu menyerahkan botol plastik lama bersaiz sekurang-kurangnya 500 mililiter. Lokasi tempat letak kereta ini ialah di CitiPark di Leeds, Britain.

Bulan Oktober ini, mereka sudah memulakan pilot program bisnes mesra alam itu. Setiap botol dikira sebanyak 20 pence (anggaran RM1) dan pelanggan boleh membawa seberapa banyak botol yang mereka mahukan.

Jika cukup bilangan botol kosong yang diserahkan seseorang pemandu, mereka boleh parkir kereta sepanjang hari secara percuma.

Andai tidak cukup botol, mereka boleh menyerahkan bekas itu kepada juruparkir untuk mendapatkan baucar.

Kadar parkir untuk sejam ialah £3 dan kos yang perlu dibayar untuk tempoh sehari ialah £19. Jika bawa 95 botol, boleh parkir secara percuma.

Botol yang dikutip itu akan dikitar semula untuk menghasilkan pakaian, perabot dan alat-alat mainan.

Petugas parkir, Chris Jones berkata, skim itu adalah untuk membantu alam sekitar.

“Pemandu cuma perlu ke kaunter khidmat pelanggan bersama botol mereka dan mereka akan diberikan diskaun pada tiket parkir.

"Mereka boleh bawa seberapa banyak botol yang dikehendaki tetapi ia perlu sekurang-kurangnya 500ml,” katanya.

Setakat ini, ramai pelanggan menyukai konsep ini dan membawa botol untuk menikmati diskaun di situ.

Sumber: Daily Mail