Pengeluar automotif nasional, PROTON tidak berdiam diri dalam membantu kerajaan Malaysia untuk memerangi virus Covid-19 di negara ini.

Bagi memberi sokongan kepada barisan hadapan, PROTON menyediakan sebanyak 50 Kenderaan Utiliti Sukan ( SUV), Proton X70 kepada Kementerian Kesihatan.



Kenderaan itu digunakan sebagai pengangkutan kepada pegawai perubahan dan pada masa sama digunakan untuk ke tempat-tempat di seluruh negara bagi urusan penting.

Sebelum ini, Proton X70 versi pemasangan tempatan (CKD) baharu sahaja dilancarkan pada Februari lalu. Selain hadir dengan logo baharu, Proton X70 CKD dilengkapi enjin 1.8 liter TGDi itu kini dengan kotak gear baharu iaitu Transmisi Klac Berkembar (DCT) tujuh kelajuan automatik.

Padanan transmisi baharu itu membuatkan prestasi Proton X70 CKD lebih mantap dengan peningkatan tork sebanyak 15Nm dengan jumlah keseluruhan adalah 300Nm.



Sebelum ini, ia menggunakan transmisi automatik enam kelajuan yang mana torknya hanya 285Nm.

Kelebihan DCT juga, tahap penggunaan bahan api lebih menjimatkan sehingga 13 peratus dengan bacaan puratanya adalah 7.6 liter bagi 100 kilometer. Malah, pecutan 0-100km/j lebih pantas, mencatatkan 9.5 saat berbanding model CBU hanya 10.5 saat, iaitu dengan perbezaan satu saat.