Jentera superbike, Ducati Panigale sudah diperkenalkan sejak 2011 lalu dengan kini sudah mempunyai lima model diperkenalkan pada peringkat global.

Panigale model paling terbaru diperkenalkan pula adalah pada tahun lalu menerusi V4 dan V4S dengan pembinaan inspirasi daripada teknologi MotoGP.


Pada tahun ini pula, Ducati melangkah lebih jauh dengan melahirkan varian baharu iaitu Panigale V4 R yang memenuhi regulasi jentera lumba Kejohanan Superbike Dunia (SBK).

Ia kini dilengkapi enjin Desmosedici Stradale R, ia bersesaran lebih kecil iaitu 998cc, tetapi menyalurkan kuasa lebih mantap berbanding V4 berkapasiti 1,103cc.


Enjin itu mampu menyalur 221hp berbanding 214hp untuk enjin V4 standard. Bagaimanapun, kuasa itu boleh ditingkatkan dengan kit perlumbaan yang mampu menyalurkan 234hp. Ia menjadikan jentera Ducati paling berkuasa setakat ini.

Pada luarannya pula, ia masih kelihatan seperti Panigale biasa cuma beberapa komponen yang ditambah untuk meningkatkan daya aerodinamiknya.


Bahagian fairing tepi, anda boleh kelihatan sayap kecil (winglet) seperti yang ada pada jentera lumba MotoGP ketika ini untuk tambahan downforce dan meningkatkan kestabilan tanpa bergantung kepada sistem elektronik.

Panigale V4 R juga menggunakan rim tempaan aluminium Marchesini yang turut dipadankan tayar Pirelli Diablo Supercorsa.


Kuasa hentiannya pula menggunakan sepasang cakera 330mm dengan Brembo Monoblock Stilema empat omboh pada bahagian hadapan, manakala belakang pula dilengkapi kaliper dua omboh untuk mencengkam cakera 245mm.

Suspensinya pula disokong dengan fork dan penyerap hentak Ohlins yang kini ia dijual pada harga RM299,900.