Buat kali pertama, pengeluar hypercar Sweden, Koenigsegg menghasilkan kenderaan dengan empat tempat duduk yang diberi nama Gemera.

Gemera adalah kenderaan era baharu buat Koenigsegg yang mula menawarkan hypercar yang melebihi dua tempat duduk berbanding sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christian von Koenigsegg memaklumkan bahawa dia berhasrat untuk membina kereta itu sejak 2003 dan mahu memastikan setiap tempat duduk mempunyai ruang luas serta selesa.

Tempat duduk hadapannya diperbuat daripada gentian karbon berongga yang hanya berat 17 kilogram yang berbentuk langsing. Ia dibina untuk memudahkan penumpang belakang memasuki ruang tempat duduk dengan menggunakan pintu scissor.

Ruang dalamannya kini lebih menfokuskan ciri mewah dengan padanan tempat duduk mempunyai sistem pemanas, setiap penumpang mempunyai ruang letak minuman, serta kenderaan itu mempunyai tempat penyimpan bagasi.

Pada masa sama, ia dilengkapi dengan infotaimen sesentuh untuk hiburan dan kawalan suhu penyaman udara bagi memudahkan setiap penumpang mengawalnya.

Selain menfokuskan berhubung keselesaan, Gemera juga memiliki ciri rangkaian kuasa hibrid termaju yang difahamkan ia mempunyai kuasa maksimum sehingga 1,700bhp dan 3,500Nm dan boleh memecut 0-100km/j dalam 1.9 saat. Kelajuan maksimum dianggar pada 400 km/j.

Rangkaian kuasa itu digabungkan dengan tiga motor elektrik dan enjin tiga silinder berkapasiti 2.0 liter. Dua motor elektriknya di bahagian belakang dan yang ketiga pula bersambung pada aci engkol enjin dengan gabungannya mampu menyalurkan 1,100bhp.

Enjin baharu yang digelar Tiny Friendly Giant yang boleh mengekstrak 600bhp dan menggunakan teknologi Freevalve. Kuasa bateri 15-kWh itu membolehkan ia dipandu tanpa bahan api sehingga 50 kilometer (km).