Lexus mengumumkan bahawa ia akan menawarkan Cermin Sisi Digital (Digital Outer Mirror) pada model ES 2019 bermula Oktober ini, menjadikannya kereta produksi pertama dengan ciri seumpama itu. Bagaimanapun, ciri tersebut hanya tersedia bagi pasaran Jepun buat masa sekarang.

Cermin sisi digital bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia automotif, namun penggunaannya terhad kepada kereta konsep sahaja.

Rekaan Lexus ini menggunakan kamera sebagai ganti cermin sisi dan segala rakaman akan dipaparkan pada skrin bersaiz lima inci yang terletak di bahagian kiri dan kanan papan pemuka.

Menurut jenama itu, Digital Outer Mirror mempunyai beberapa kelebihan jika dibandingkan dengan cermin sisi konvensional. Pertama, penggunaan kamera membolehkan pemandu melihat kawasan sekitar kenderaan dengan lebih jelas.

Bukan itu sahaja, teknologi ini juga akan menghasilkan imej yang lebih jelas apabila pemandu menggunakan lampu isyarat atau mengundurkan kenderaan. Boleh diubahsuai secara manual, ciri ini juga berfungsi ketika ketika memandu pada waktu malam atau dalam cuaca buruk.

Reka bentuk yang tirus dan moden bukan sahaja memberikan kelebihan dari segi aerodinamik, malah mampu mengurangkan bunyi angin serta menghalang pengumpulan air dan salji. Saiznya yang kecil juga memberikan sudut pandangan yang lebih jelas kepada pemandu.