Untuk mempunyai versi coupe bagi setiap model SUV yang ditawarkan sudah menjadi trend di kalangan pengeluar kenderaan mewah seperti BMW dan Mercedes-Benz.

Tidak mahu ketinggalan dalam persaingan segmen kecil itu, Porsche secara rasminya memperkenalkan Cayenne Coupe yang akan menjadi seteru kepada X6 dan GLE Coupe.

Sudah tentu, tarikan utama model terbaru ini adalah rekaan bumbung yang lebih dinamik dengan bahagian belakang yang menurun secara dramatik. Penampilan itu diperkuatkan lagi dengan kehadiran spoiler bumbung dan spoiler belakang yang boleh memanjang sebanyak 135mm pada kelajuan 90km/j ke atas.

Menurut Porsche, birai bumbung pada Cayenne Coupe adalah 20mm lebih rendah jika dibandingkan dengan Cayenne biasa dan ini secara tidak langsung menghasilkan cermin hadapan dan tiang A yang lebih kecil.

Cayenne Coupe ditawarkan dengan dua pilihan enjin. Bagi varian asas, ia menampilkan enjin turbo 3.0 liter enam silinder dengan 340PS dan 450Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam enam saat atau 5.9 saat dengan pakej Sport Chrono. Kelajuan maksimum adalah 243km/j.

Sementara itu, varian tertinggi dikuasakan oleh enjin 4.0 liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 550PS dan 770Nm. Ia memerlukan 3.9 saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 286km/j.

Bagi pasaran Jerman, Cayenne Coupe akan dijual bermula Mei ini dengan harga €83,711 (RM383,388) bagi varian asas dan €146,662 (RM671,697) bagi varian V8.