Suzuki RC Sprinter antara model keluaran jenama motosikal Suzuki tahun 1980-an yang makin pupus dan sukar ditemui.

Generasi kedua keluarga Suzuki RC ini mempunyai rupa hampir sama dengan varian pertamanya iaitu Suzuki RC 80 dan turut menyamai Honda Hurricane 110 khususnya dibahagian kepalanya.

Bagi melihat atau memiliki jentera ini dalam keadaan kemas dijaga rapi sememangnya sukar, tetapi kali ini drebar.my berjaya menemui secara lebih dekat.

Jentera ahli kelab 90's Raider JB milik Haji Sham, 40, dari Johor ini sememangnya kemas.

Malah Suzuki RC Sprinter ini masih mengekalkan banyak komponen asli, namun ditambah dengan pelbagai komponen baru dan moden untuk tampak kelainan.

Enjin berkapasiti 100cc masih lagi asli dan dijaga rapi serta tidak diusik.

Menariknya, perumah enjin dan rantai diperkemaskan dengan salutan krom, manakala warna badan kelihatan unik selepad dicat warna hijau serta dilekat pelekat tema Rock Oil.

Jentera empat kelajuan ini itu sebenarnya didatangkan lengkap dengan sistem klac tangan dan berbeza dengan RC 80.

Bunyi yang terhasil daripada enjin dua lejang jelas nyaring melalui ekzos SH Racing dengan salutan krom.

Uniknya jentera ini selepas menggunakan kit badan termasuk lampu belakang mengikut spesifikasi asli keluaran Indonesia.

Selain itu, pelindung dibahagian bawah enjin pula mengikut gaya dari Thailand dan tempat duduk binaan khas disaluti material PVC asli Suzuki.

Sistem brek kaki jentera ini mengekalkan yang asal, tetapi bahagian roda hadapan digantikan dengan sistem brek cakera Brembo supaya memberi cengkaman maksimum.

Rim tiga bilah pula dibaluti tayar Michelin menyerlahkan gaya retro, manakala penyerap hentak asal pula digantikan dengan Kozi Racing.

Jentera yang asalnya nampak seolah tidak dapat diselamatkan lagi sebenarnya melalui proses restorasi dan modifikasi dalam tempoh hampir setahun.

Bengkel yang bertanggungjawab terhadap motosikal ini adalah Angah Sprinter Garage dan difahamkan kos pembinaan semula menelan belanja lebih RM 3,000.