Skip to main content

Hiburan

Arja Lee Bawa Nama Malaysia Di India, Malaysian Craft Council Kini Menganggotai Kerusi Badan Penilai UNESCO - “Peranan Ini Dilaksanakan…”

Arja Lee

Sekilas

  • Malaysian Craft Council (MCC) telah dipilih sebagai anggota Badan Penilai di bawah Konvensyen UNESCO 2003 bagi tempoh 2026 hingga 2029.
  • MCC akan terlibat dalam proses penilaian pencalonan Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO dan permohonan Bantuan Antarabangsa secara telus dan profesional.
  • Pelantikan ini mengiktiraf peranan Malaysia dalam memelihara warisan budaya tidak ketara serta komitmen MCC untuk menyokong usaha global dalam bidang ini.

Malaysian Craft Council (MCC) telah memenangi undian dan seterusnya dipilih untuk menganggotai Badan Penilai di bawah Konvensyen UNESCO 2003 bagi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara bagi tempoh 2026 hingga 2029. 

 

Pengumuman ini dibuat semasa Sesi ke-20 Jawatankuasa Antara Kerajaan

(Intergovernmental Committee – IGC) yang berlangsung di New Delhi, India.

 

Menurut Setiausaha Kehormat Malaysian Craft Council (MCC), Arja Lee, pelantikan tersebut merupakan satu pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa terhadap peranan serta pengalaman Malaysia dalam usaha memelihara dan memperkasa warisan budaya tidak ketara.

 

“Sebagai anggota Badan Penilai, MCC akan terlibat secara langsung dalam proses penilaian pencalonan dan permohonan yang dikemukakan oleh Negara-Negara Anggota, termasuk pencalonan ke Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO serta permohonan Bantuan Antarabangsa,” katanya.

 

Arja Lee turut menegaskan setiap penglibatan MCC dilaksanakan secara telus dan berlandaskan garis panduan yang ditetapkan di bawah Konvensyen UNESCO 2003.

 

“Peranan ini dilaksanakan secara bebas dan profesional, selaras dengan prinsip ketelusan, keadilan serta integriti yang digariskan oleh UNESCO,” ujarnya.

 

Penyertaan MCC dalam badan penilaian ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong usaha perlindungan warisan budaya tidak ketara dunia yang berasaskan komuniti dan kelestarian, sejajar dengan pendekatan UNESCO yang menekankan kepentingan warisan sebagai amalan budaya yang terus hidup dan berkembang.

 

MCC merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO serta semua Negara Anggota atas kepercayaan yang diberikan. 

 

Penghargaan turut ditujukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia untuk UNESCO, Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO, serta Kementerian Luar Negeri Malaysia atas sokongan dan kerjasama berterusan.

 

MCC komited untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh amanah serta terus menyumbang kepada usaha global dalam memastikan pemeliharaan dan kelangsungan warisan budaya tidak ketara untuk generasi akan datang.

 

Tentang Malaysian Craft Council (MCC):

 

Malaysian Craft Council (MCC) adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang bertindak sebagai agen advokasi untuk memacu pertumbuhan industri kraf negara. 

 

MCC mewakili pelbagai kategori kraf dan seni persembahan di Malaysia. Selain itu, MCC juga berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pemain industri dalam memposisikan kesenian Malaysia di peringkat antarabangsa melalui projek kolaborasi dan jaringan strategik. 

 

MCC telah dilantik sebagai NGO bertauliah UNESCO pada tahun 2024, dan juga merupakan ahli “National Entity” untuk World Craft Council.

Must-Watch Video

Advertisement