Sekilas
- Video interaksi antara cef Juna Rorimpandey dan pelawak Vicha Barbie dalam MasterChef Indonesia mencetuskan perbualan hangat di media sosial.
- Cef Juna menyatakan Vicha laku di Malaysia kerana cakap bahasa Indonesia, yang menimbulkan reaksi kurang senang daripada netizen Malaysia.
- Netizen mempertahankan Vicha dengan menegaskan kejayaannya disebabkan bakat dan personaliti, bukan bahasa yang digunakan.
Sepotong video daripada rancangan realiti masakan MasterChef Indonesia mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen selepas memaparkan interaksi antara cef terkenal Indonesia, Juna Rorimpandey dan salah seorang pesertanya, pelawak Vicha Barbie.
Menerusi video yang tular di media sosial, Vicha Barbie dilihat memperkenalkan diri kepada barisan juri sebelum berkongsi pengalamannya bergelar pelawak selama 15 tahun di Malaysia.
“Saya di Malaysia 15 tahun jadi pelawak di sana laku, di sini tak laku,” ujar Vicha berseloroh.
Bagaimanapun, kenyataan balas Cef Juna mencuri perhatian apabila didakwa seolah-olah mengaitkan penerimaan Vicha di Malaysia dengan penggunaan bahasa Indonesia.
“Pastilah laku kerana kamu cakap bahasa Indonesia, lucu bagi orang Malaysia. Pulang ke Indonesia, cuba cakap Malaysia, luculah bagi orang Indonesia,” kata Cef Juna.
Kenyataan tersebut bagaimanapun mengundang reaksi kurang senang khususnya dalam kalangan warga Malaysia yang tampil mempertahankan Vicha di ruangan komen.
Rata-rata menegaskan penerimaan Vicha di Malaysia bukan kerana bahasanya, sebaliknya disebabkan personaliti dan bakat yang dimiliki pelawak itu.
“Lucu dalam konteks juri MasterChef ini maksudnya ‘cute’ atau ‘lawak’? Rasanya orang Malaysia tak pernah jadikan loghat Vicha sebagai bahan lawak. Dia laku sebab bakat dan lakonan dia.
“Helo, saya orang Malaysia. Bukan sebab bahasa Indonesia itu lucu, tapi sebab personaliti dia buat kami suka. Bahasa Indonesia dah lama kami dengar dari drama dan sinetron,” katanya.
Tidak kurang juga yang mengkritik sikap Cef Juna yang disifatkan sombong dan terlalu fokus kepada perkara di luar konteks pertandingan memasak.
“She lucu sebab personaliti, bukan bahasa. Sebab itu Malaysia suka dia,” komen beberapa netizen.
Malah ada yang menyatakan isu bahasa tidak seharusnya dijadikan bahan merendahkan mana-mana pihak kerana Malaysia sendiri mempunyai pelbagai loghat dan dialek.
Setakat ini, Cef Juna mahupun pihak produksi MasterChef Indonesia belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung reaksi netizen terhadap klip berkenaan.
Sumber: Threads