Sekilas
- Johnson Wen, penceroboh bersiri yang menceroboh Ariana Grande di Universal Studio Singapore, dijatuhkan hukuman penjara sembilan hari dan denda RM6,374 oleh mahkamah Singapura.
- Wen didapati tidak menunjukkan kekesalan selepas melarikan diri dari kawalan keselamatan dan memuat naik video kejadian tersebut di media sosialnya.
- Dia sebelum ini juga pernah membuat kecoh di konsert Katy Perry di Sydney dan acara larian akhir 100 meter lelaki di Sukan Olimpik 2024.
Peminat yang digelar penceroboh bersiri, Johnson Wen akhirnya menerima natijah daripada perbuatannya menceroboh dan ‘menerkam’ bintang terkenal Hollywood, Arian Grande di Singapura, baru-baru ini.
Wen bukan sahaja dijatuhkan hukuman penjara tetapi perlu membayar sejumlah denda selepas disifatkan mahkamah di Singapura sebagai tidak menunjukkan kekesalan terhadap kekecohan yang terjadi.
Lelaki kelahiran Australia itu dipenjara sembilan hari dan denda RM6, 374 (SGD 2,000) kerana perbuatan menceroboh dan kegentaran awam, lapor The Straits Times.
Dia yang juga dikenali sebagai konten kreator dengan nama pyjamamann kemudian menyatakan tidak akan melakukan kesalahan yang sama kepada mahkamah.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Wen melepasi kawalan keselamatan sewaktu bintang filem Gala Premiere Wicked: For Good sedang berjalan di permaidani kuning di Universal Studio Singapore (USS) baru-baru ini.
Wen telah meluru ke arah Grande memeluk dan merakamkan aksinya. Grande kelihatan sangat terkejut sebelum pengawal keselamatan menyelamatkan keadaan.
Selepas membuat kecoh, Wen tanpa rasa menyesal telah memuat naik kejadian tersebut di akuan media sosialnya.
Diberi jolokan sebagai penceroboh bersiri, Wen sebelum ini telah membuat kecoh dengan konten sama pada konsert Katy Perry di Sydney pada Jun lalu serta acara larian akhir 100 meter lelaki di temasya Sukan Olimpik 2024.