Pertarungan separuh akhir All Star Championship 2025 yang berlangsung di Bunker Damansara KL minggu lalu menyaksikan malam penuh adrenalin apabila gelanggang tinju selebriti itu menjadi saksi kepada aksi luar biasa dan penuh kejutan daripada para peserta.
Antara momen yang paling mencuri perhatian penonton ialah apabila aktor Fareez Fauzi berjaya mara ke pentas akhir selepas menumbangkan lawannya, Koroy, dalam pertarungan sengit dari awal hingga akhir.
Advertisement
Aksi mereka mencetuskan sorakan gemuruh dan menjadi antara perlawanan paling mencabar sepanjang kejohanan berlangsung.
Dalam satu lagi pertarungan yang tidak kurang hangatnya, pempengaruh Imranul Effendy terpaksa melupakan impian untuk bertemu adiknya, Izzlan, di final apabila adik kesayangannya itu tewas kepada Amir Harris, sekali gus menutup peluang 'pertembungan adik-beradik' yang dinanti ramai.
Nasib sama turut menimpa pelakon Shahidan Izwan yang tersingkir selepas tunduk kepada Sonic, peserta yang terkenal dengan gaya tenang dan ketepatan pukulan yang luar biasa.

Sementara itu, penyanyi Fariq McFly pula terpaksa akur dengan kekalahan selepas bertarung menentang Oyot, seorang atlet silat yang mempamerkan disiplin dan kawalan gelanggang seolah-olah seorang jaguh profesional.

Menurut penganjur kejohanan, Datuk Abdul Rahman Soltan, All Star Championship edisi kali ini membuktikan bahawa para peserta bukan sekadar 'main-main' di gelanggang, sebaliknya benar-benar berlatih keras dan menunjukkan semangat luar biasa untuk tampil seperti peninju profesional.
“Saya bangga dengan disiplin dan komitmen semua peserta. Walaupun ada pihak yang menganggap ini hanya sekadar hiburan, realitinya mereka menjalani latihan intensif dan menunjukkan keberanian yang tinggi. Sambutan penonton juga luar biasa, membuktikan All Star Championship kini menjadi fenomena baharu dalam dunia sukan tempur moden,” katanya.
Beliau menambah, kejohanan ini bukan sahaja menggabungkan dunia sukan dan hiburan, tetapi turut membawa elemen digital serta pelancongan melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menjelang pusingan akhir yang dijadualkan pada 18 Oktober 2025 di Arena Sukan Kuala Lumpur, sebanyak tiga kejuaraan utama bakal menjadi rebutan dengan jumlah hadiah terkumpul sebanyak RM270,000.
Datuk Abdul Rahman percaya pentas akhir nanti akan menjadi detik paling sengit dan bersejarah dalam edisi kali ini.
Sementara itu, pelakon terkenal Fauzi Nawawi, yang juga bapa kepada salah seorang peserta, menyifatkan All Star Championship sebagai satu platform sukan yang bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga ruang positif untuk anak muda menyalurkan tenaga dan semangat dalam cara yang sihat.
“Saya lihat masyarakat kini lebih terbuka. Pertarungan seperti ini bukan sesuatu yang negatif, malah ia membantu mengurangkan konflik di media sosial kerana semuanya disalurkan melalui gelanggang yang sah dan profesional. Penglibatan selebriti dalam arena tinju tempatan juga menjadikan sukan ini lebih popular dan berpengaruh,” jelas Fauzi.
Tambahnya lagi, usaha penganjur menyediakan gelanggang profesional serta membimbing para peserta dengan latihan intensif patut dipuji.
“Kita patut sokong kerana All Star Championship membuka jalan baharu untuk generasi muda menghargai semangat kesukanan dalam bentuk moden. Tinju kini sudah jadi sebahagian daripada budaya digital anak muda dan saya fikir ini sesuatu yang menarik untuk disokong,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan pentas akhir All Star Championship 2025 di Arena Sukan Kuala Lumpur akan mula dijual tidak lama lagi, dan pastinya peminat sukan serta selebriti tanah air tidak mahu terlepas detik bersejarah menentukan siapakah bakal dinobatkan sebagai Sang Juara 2025.