Penyanyi, Atilia Haron nafi cuba menyindir kemenangan mana-mana penyanyi sejurus tamat Anugerah Industri Muzik (AIM) pada September lalu.
Menurut Atilia, dia tidak mengetahui bahawa malam tersebut adalah malam AIM kerana sedang menonton persembahan penyanyi antarabangsa, Norah Jones dari rumah.
“Sejujurnya saya tak tahu malam itu adalah AIM dan saya adalah peminat AIM. Semasa AIM yang pertama ketika zaman Ferdy Fernandez saya bersama dengan penganjuran AIM yang pertama jadi saya memang sangat sentimental dengan anugerah ini tapi sejak kebelangakan ini anugerah itu baru bermula jadi saya tak aware sangat.
“Dan saya menonton konsert Norah Jones di rumah pada ketika itu dan menyatakan pendapat jika dia menyanyi di Malaysia pasti dia tak akan dapat anugerah sebab dia tidak menyanyi dengan menjerit. Itu sahaja yang saya katakan namun tidak tahu benda itu dikaitkan dengan penyanyi lain,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Atilia menjelaskan, kenyataannya sebelum ini hanyalah contoh tentang gaya persembahan Norah Jones yang terkenal dengan vokal lembut dan tiada niat untuk ditujukan kepada mana-mana penyanyi tempatan.
Malah Atilia turut mengambil inisiatif untuk menghubungi penyanyi yang dikaitkan untuk memastikan tiada salah faham.
“Saya tidak mempunyai unsur untuk menjatuhkan orang, kami berkawan. Jadi saya terus mesej penyanyi itu dan dia juga berkata tiada apa-apa yang serius antara saya dan dia. Saya gembira mendengar perkara tersebut.
“Apa yang orang baca dan apa yang orang interpret tidak penting bagi saya kerana saya tahu apa yang saya tulis. Saya seorang yang positif jadi saya fikir saya mahu padam statement berkenaan tapi tak sangka sebab delete jadi lebih teruk. macam-macam orang cakap, sebenarnya saya delete sebab untuk mental health saya,” ujarnya.
Terdahulu, Atilia Haron mencuri perhatian apabila didakwa mempersoalkan standard penilaian dalam industri muzik tanah air khususnya melibatkan kemenangan anugerah.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Atilia membuat perbandingan dengan penyanyi antarabangsa terkenal, Norah Jones dan Sade yang dikenali dengan gaya vokal lembut tanpa perlu meninggikan suara.