Sekilas
- Wany Hasrita mengakui sokongan ibu dan suami menjadi kekuatan utama dalam menghadapi cabaran industri seni yang sentiasa berubah.
- Wany kini bergerak secara bebas tanpa label rakaman dengan bantuan pengurus yang banyak membantunya mengurus kerjaya dan menghasilkan karya baharu.
- Single terbaharu Wany, Lembayung Tari, menggabungkan elemen tradisional dan moden, menunjukkan sisi matang dan usaha berterusannya untuk kekal relevan dalam muzik tempatan.
Mengakui ada fasa turun naik dalam industri seni, penyanyi Wany Hasrita meluahkan rasa syukur apabila mendapat sokongan daripada insan terdekat yang menjadi kekuatan utama untuk terus melangkah.
Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33, berkata ibunya sentiasa memberi dorongan sejak awal dalam pembabitannya dalam dunia seni.
“Kalau nak cakap tentang individu paling kuat beri semangat, sudah tentu ibu saya. Ibu tak pernah putus harapan. Dia selalu pesan, kalau Wany dah terlalu penat, berhenti sekejap.
“Duduk dengan suami di Kuching. Tak rugi apa-apa pun, ibu okey sahaja,” katanya.
Tambah penyanyi Menahan Rindu itu, ibunya memahami cabaran dunia hiburan yang sentiasa berubah dan menuntut artis bergerak seiring arus semasa.
“Industri kita bergerak sangat laju. Bukan soal persaingan semata-mata, tapi rentaknya pantas. Jadi saya kena sentiasa hasilkan lagu baharu supaya terus relevan.
“Namun kepuasan itu datang daripada diri sendiri, terutama bila membawakan lagu tradisional. Saya memang suka dengar genre begitu berkumandang di radio,” ujarnya.
Selain ibu, Wany itu turut menitipkan penghargaan buat pengurusnya yang banyak membantu ketika dia mengambil keputusan bergerak secara bebas tanpa label rakaman.
“Saya pernah cakap pada dia, boleh tak jaga Wany? Sebab sebelum ini semua diuruskan pihak label. Bila nak bergerak sendiri, saya tak tahu dari mana nak mula.
“Masa itu saya tiada apa-apa. Persembahan pun asyik menyanyikan lagu lama seperti Menahan Rindu, Canggung dan Rintihan Rindu. Alhamdulillah lagu itu masih diterima, tapi saya teringin karya baharu dimainkan di radio,” jelasnya.
Paling penting luahnya, perjalanan setahun bersama pengurusnya bukan tanpa cabaran, namun keserasian akhirnya terjalin.
“Banyak juga naik turun. Ada masa dia marah saya, saya marah dia. Tapi alhamdulillah, bila sampai ke lagu Lembayung Tari, gelombang kami sama.
“Dia selalu yakinkan saya, Wany boleh buat. Jadi kami cuba sahaja. Harap percubaan ini berhasil. Ibu dan suami memang antara penyokong paling kuat. Lagu ini pun agak peribadi buat saya. Terima kasih kepada semua yang hadir dan terus menyokong,” jelasnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Wany tampil dengan single berjudul Lembayung Tari, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh.
Karya tersebut menawarkan kelainan menerusi gabungan elemen tradisional dan moden, disulam melodi puitis serta emosi mendalam.
Lembayung Tari memperlihatkan sisi matang Wany dalam percubaan meneroka bunyi segar, sekali gus membuktikan kesungguhannya untuk terus relevan dalam industri muzik tempatan.