Sekilas
- Ieda Moin menjelaskan perkongsiannya di podcast bukan untuk menormalisasikan budaya songsang, sebaliknya sebagai iktibar.
- Beliau menganggap kecaman yang diterima berpunca daripada klip pendek yang disebarkan tanpa konteks penuh.
- Ieda turut berkongsi pengalaman menghadapi tekanan mental dan bersyukur kerana rakan-rakan membantu beliau bangkit semula.
Tiada niat untuk menormalisasikan budaya songsang, pelakon dan pelawak Ieda Moin berkata perkongsiannya di podcast baru-baru ini hanya untuk dijadikan iktibar.
Bagaimanapun Ieda menganggap kecaman yang diterima hanyalah berpunca daripada klip pendek temu bual berkenaan yang disebarkan tanpa konteks penuh.
"Saya tak sangka perkongsian itu jadi kontroversi. Semasa bercerita, suami dan anak pun ada di depan saya. Mereka hanya tengok klip suntingan pendek dan terus menuduh saya menormalisasikan budaya songsang.
"Saya bercerita supaya jadi iktibar. Yang buruk kita jadikan sempadan, yang baik kita ambil sebagai pedoman. Saya tak pernah galakkan sesiapa melakukan perkara itu," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Ieda mengakui pernah melalui fasa tekanan hebat hingga tercetus fikiran melulu, namun akhirnya kembali kuat selepas melalui tempoh sukar tersebut.
"Saya pernah 'depress', sampai pegang anak dan terfikir untuk terjun kerana tertekan. Tapi selepas melalui semua itu, saya dapat 'pelangi'. Saya bersyukur sebab saya tersedar awal," katanya.
Ieda meluahkan rasa syukur apabila rakan-rakan terdekat menjadi penyelamat yang membantunya menjauh daripada terus tersasar.
“Saya ditarik awal oleh kawan-kawan. Mereka kata saya tidak boleh begitu, bukan saya teruskan. Tapi perkongsian itu pun Aidid ada tanya sebelum keluarkan dan saya kata okay sebab saya rasa ia bukan isu besar.
“Bukannya saya buat dosa, saya cerita saya hampir terjerumus situasi itu dan Alhamdulillah ditarik balik,” ujarnya.
Terdahulu, klip pendek mengenai pengalaman peribadinya tular sehingga mengundang kecaman warganet yang menganggap Ieda membuka aib sendiri.