Sekilas
- Pelakon Irfan Zaini menegaskan pemandu mabuk adalah punca utama kemalangan jalan raya yang meragut nyawa pengguna tidak bersalah.
- Irfan menyeru orang ramai supaya tidak memandu selepas minum arak dan menggalakkan penggunaan perkhidmatan Grab atau bantuan rakan untuk pulang.
- Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya saling menasihati dan bertanggungjawab demi keselamatan bersama di jalan raya.
Pelakon, Irfan Zaini berkongsi pendapat mengenai isu pemandu mabuk yang semakin membimbangkan, khususnya melibatkan kemalangan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.
Berasa sedih melihat kejadian seumpama itu yang kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini, Irfan menegaskan sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu menjadi punca kepada tragedi ngeri.
"Memang sedih apabila lihat isu ini terjadi. Satu perkara yang ingin saya beritahu, kalau seseorang itu mahu minum (arak), balik rumah tolong jangan memandu, boleh ambil grab.
"Jangan sesekali menyusahkan pengguna jalan raya yang lain, amat berbahaya jika memandu dalam keadaan mabuk.
"Disebabkan kecuaian orang lain, orang lain pula yang menjadi mangsa. Lebih kasihan, mangsa adalah bapa dan mempunyai keluarga,” katanya kepada Gempak.
Irfan berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka filem Terbang yang diadakan di Hotel Kingston, Bukit Jalil pada Isnin.
Dalam masa sama, pelakon kelahiran Johor itu turut menyeru orang ramai agar memainkan peranan dalam memastikan keselamatan bersama, khususnya apabila melibatkan orang sekeliling.
Menurut Irfan, kesedaran dalam kalangan masyarakat amat penting bagi mengelakkan lebih banyak tragedi tidak diingini berlaku, apatah lagi apabila kecuaian individu boleh meragut nyawa orang lain yang tidak bersalah.
"Pesanan saya kepada orang di luar sana, sekiranya anda melihat rakan-rakan anda minum, kemudian tolong nasihat mereka jangan memandu selepas itu. Ambillah grab.
"Atau mungkin rakan-rakan itu yang bantu hantar pulang ke rumah. Jangan sama sekali benarkan mereka yang minum untuk memandu kenderaan sendiri,” ujarnya.
Sejak kebelakangan ini, kes melibatkan pemandu mabuk dilihat semakin meningkat, malah ada yang berakhir dengan kematian, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.