Sekilas
- Suami Allahyarham Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, meminta orang ramai menunggu kenyataan rasmi Wisma Putra mengenai punca pemergian isteri beliau.
- Jenazah Nadia Kesuma akan dikebumikan di Jeddah atas persetujuan keluarga dan tidak dibawa pulang ke Malaysia.
- Nadia dilaporkan hilang selepas transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, dan Wisma Putra mengesahkan beliau sudah meninggalkan lapangan terbang tersebut.
Suami pelakon Allahyarham Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah meminta menunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan Wisma Putra, berhubung punca pemergian isteri tersayang.
Muhammad Kamarul berkata, maklumat mengenai pemergian Allahyarham Nadia Kesuma sudah diberi kepada Wisma Putra.
"Wisma Putra akan keluarkan kenyataan rasmi.
"Mereka (pihak Wisma Putra) sudah minta daripada saya dan segala-galanya akan dikongsikan. Saya fikir mereka akan umumkan sekejap lagi," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Muhammad Kamarul mengumumkan pemergian Allahyarham Nadia Kesuma pada hantaran Facebook (FB), awal pagi tadi.
Muhammad Kamarul berkata, jenazah Allahyarham Nadia Kesuma atau nama sebenar, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, tidak dibawa pulang ke Malaysia, sebaliknya akan dikebumikan di Jeddah.
Menurutnya, keputusan tidak membawa pulang jenazah dibuat atas persetujuan ahli keluarga.
"Kami tak bawa pulang, kami akan kebumikan di sana (Jeddah). Ini atas perbincangan keluarga dan saya rasa ini yang arwah mahukan," katanya.
Allahyarham Nadia dilapor gagal dikesan selepas penerbangannya ke London, United Kingdom (UK) dari Kuala Lumpur transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, Wisma Putra mengesahkan Nadia yang dilapor hilang di Arab Saudi sebelum ini, dikesan sudah meninggalkan lapangan terbang Jeddah.
Sebelum ini, Muhammad Kamarul dilapor merayu kerajaan menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.
Allahyarham Nadia menyertai kumpulan umrah dan ziarah sebuah agensi pelancongan membabitkan 21 peserta sejak 14 Januari selama dua minggu. - BH Online