Filem Malam Terlarang terus mencipta fenomena apabila kekal berada di tangga teratas carta Top Movies GSC sejak ditayangkan pada 30 Oktober lalu, sekali gus dinobatkan sebagai filem seram paling berjaya tahun 2025.
Lebih membanggakan, kejayaan filem terbitan Astro Shaw itu hadir meskipun bersaing dengan deretan filem antarabangsa besar seperti Tron: Ares, Death Whisperer 3: Sound of Silence, G-Dragon in Cinema: Ubermesh dan banyak lagi.
Advertisement
Bukan sekadar mendominasi panggung, naskhah terbitan Astro Shaw itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada penonton yang memuji kekuatan jalan cerita, sinematografi dan elemen seramnya yang dianggap ‘naik taraf’ berbanding filem tempatan lain.
Menerusi ruangan komen di media sosial, rata-rata penonton menyifatkan Malam Terlarang sebagai filem seram paling menyeramkan tahun ini.
“Sabtu lepas tengok Malam Terlarang. Sangat enjoy dengan jalan cerita, plot twist, jump scare bertubi-tubi dan nampak real. Watak Abah dan Mawar aku paling banyak tears. Paling tak sangka plot twist dia sebab aku expected orang lain.
“Zul Ariffin memang the best actor! Jadi polis boleh, jadi gangster boleh, jadi Abah pun boleh! Aku rate 8.5/10, so silakan pergi.
“Lepas tengok cerita Malam Terlarang semalam, aku rasa kualiti filem seram Malaysia dah meningkat banyak. Kalau cakap tentang apa makna movie, Malam Terlarang really define it. This is what we call a movie. Well done Malam Terlarang for setting a new standard,” komen beberapa netizen.
Filem ini turut dipuji kerana nilai produksinya yang tinggi serta keunikan jalan cerita yang berpaksikan mitos dan ritual mistik Nusantara.
“Malam Terlarang menyerlah sebagai filem seram dengan nilai produksi terbaik tahun ini. Dari konsep visual, sinematografi, jalan cerita, malah kehadiran watak Pamakbul itu sendiri, semuanya bersatu membentuk sebuah karya yang unik, menarik dan memukau pandangan,” ujar seorang lagi penonton.
Selain itu, filem ini juga berjaya mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih kutipan pembukaan sebanyak RM3 juta hanya dalam tempoh beberapa hari tayangan.
Menariknya, filem ini merupakan debut sulung Labu atau Nurhanisham Muhammad sebagai pengarah filem selepas dikenali sebagai pengarah fotografi dan pernah mengarah drama premium Astro Originals X-Change.
Penggambaran dijalankan di sekitar Pantai Morib dan Kuala Selangor dengan latar semula jadi seperti paya bakau serta pesisiran pantai yang menambah elemen mistik kepada penceritaan.
Menampilkan gandingan pertama kali dua nama besar, Zul Ariffin dan Sofia Jane, filem ini turut dibintangi Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Aila Azizul dan Sharifah Haneesya.