Selepas dua dekad mengabdikan diri dalam dunia muzik, kumpulan nasyid kotemporari, UNIC berjaya mementaskan konsert solo pertama mereka menerusi This Is UNIC: Live In Concert.
Membuka tirai dengan lagu Hanyut, UNIC berjaya membawa penonton menyelami perjalanan seni mereka yang panjang dan penuh warna.
Lebih menarik, peminat yang hadir juga dilihat sangat teruja malah ikut sama-sama menyanyi dengan kumpulan yang dianggotai oleh Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris, dan Fakhrul Radhi.
Menurut Bazli Hazwan, dia sangat teruja sepanjang konsert apabila melihat aksi penonton yang hadir menyanyi dan menghidupkan suasana pada malam itu.
“Apabila kami menyanyikan lagu-lagu lama seperti Balqis dan Remaja, kami seakan kembali ke titik awal perjalanan UNIC.
"Melihat penonton menyanyi bersama membuktikan lagu-lagu ini masih hidup dan bermakna hingga hari ini,” katanya.
Perkara itu turut dipersetujui oleh Fakhrul Radhi yang menyifatkan momen itu sebagai detik paling mengharukan.
“Apabila ribuan penonton menyanyi bersama lagu-lagu seperti Hanya Tuhan Yang Tahu dan Ainul Mardhiah, kami benar-benar merasai hubungan yang sangat kuat antara kami dan peminat. Itu bukan sekadar persembahan, tetapi perkongsian rasa,” katanya.
Bukan sahaja menyanyi, malah aliran konsert kemudiannya membawa penonton ke segmen lebih tenang dan reflektif menerusi lagu-lagu seperti Hakikat Bahagia, Doa Dhuha, Anak Soleh, Jom Solat dan Qunut Nazilah.
Segmen ini mencipta suasana penuh keinsafan apabila seluruh arena seakan bersatu dalam ketenangan dan penghayatan rohani.
Konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Naufal Isa dan Nizam Laksamana yang berkongsi pentas bersama UNIC dalam segmen khas.
Kehadiran mereka disambut sorakan gemuruh dan menjadi simbol persahabatan serta sokongan sesama penggiat seni yang berkongsi nilai dan visi yang sama.
Berlangsung selama 2 jam 30 minit, penonton dipersembahkan dengan lagu-lagu popular UNIC antaranya, Sekolahku, Hakikat Bahagia, Jalinan, Sebuah Pertemuan, Hanyut, Balqis, Mahligai Kasih dan Ainul Madhiah