Skip to main content

Hiburan

Netizen Dakwa Dialog Aqasha Dalam Siri ‘Walid’ Jatuhkan Akidah, Ini Penjelasan PU Razi

Walid

Sekilas

  • PU Razi menegaskan dialog sensitif agama dalam drama Walid yang tular boleh mencemarkan akidah dan perlu dipandang serius mengikut garis panduan JAKIM.
  • Beliau menegaskan skrip sebegini harus disemak dan ditapis oleh pihak berautoriti sebelum diterbitkan bagi mengelakkan kesilapan yang menyentuh kesucian Islam.
  • PU Razi juga menyarankan agar pelakon yang melontarkan dialog tersebut tidak terus dihukum, sebaliknya perlu bertaubat dan orang ramai dinasihatkan memberi nasihat secara berhikmah tanpa menjatuhkan hukum terburu-buru.

Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Razi, menegaskan bahawa penggunaan dialog yang menyentuh sensitiviti agama dalam sesebuah karya tidak wajar dipandang ringan apatah lagi apabila ia melibatkan unsur ketuhanan.

Menurut PU Razi atau nama lengkapnya mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi, dialog yang dipercayai dilontarkan menerusi drama Walid yang tular di media sosial dikhuatiri boleh mencemarkan akidah seseorang.

PU Razi turut menjelaskan perkara tersebut berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya tak tengok lagi cerita ini macam mana dan tiadanya disclaimer daripada pihak produksi, tetapi berdasarkan tangkap layar yang tular itu, adanya lafaz, 'Aku adalah Allah, Allah adalah aku' dan sebagainya.

“Bila bercakap soal isu yang sebegini, sememangnya ianya mencemarkan akidah. Kalau kita semak garis panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan oleh JAKIM pada tahun 2015 memang ada disebut.

“Kita tengok muka surat lima, perkara keempat di mana dalam menentukan kandungan sebuah multimedia dan penyiaran ni, memang tak boleh mengandungi perkara-perkara yang menyentuh kesucian Islam termasuklah perkara perbuatan, perkataan ataupun keadaan. Apatah lagi Allah kerana Allah adalah Tuhan dan ia adalah sensitif,” katanya kepada Gempak.

Tambahnya lagi, dialog yang dilontarkan sangat sensitif dan sepatutnya skrip yang ditulis perlu melalui semakan rapi dan mendapat penapisan yang sepatutnya daripada pihak berautoriti sebelum diterbitkan.

“Saya tidak pasti tetapi sewajarnya skrip-skrip sebegini disemak terlebih dahulu,” ujarnya.

Ditanya mengenai status Aqasha yang melontarkan dialog tersebut, PU Razi memaklumkan pelakon tersebut tidak boleh terus dihukum namun berpendapat dia wajar bertaubat.

“Pelakon itu tidak boleh terus dihukum murtad melainkan dia benar-benar berniat dan mempercayai apa yang dilafazkan itu.

“Jika sekadar melakonkan watak, ia tidak menjatuhkan akidah, tidak menjatuhkan imannya. Namun, dia tetap perlu bertaubat dan lebih berhati-hati,” perjelasnya.

Dalam masa yang sama, PU Razi menyarankan orang ramai agar tidak terburu-buru dalam menjatuhkan hukum sebaliknya menasihatilah dengan cara yang berkhemah.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita janganlan terus jatuh hukum dan menyerang. Nasihat secara baik,” katanya lagi.

Terdahulu, tular di Threads tangkap layar memaparkan dialog yang didakwa dilontarkan pelakon, Aqasha dalam drama Walid yang berbunyi, ‘Aku adalah Allah dan Allah adalah aku’.

Hantaran itu kemudiannya menyorot perhatian sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet.

Anda mungkin berminat dengan

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

The Lutfi Chili Oil with Crispy Garlic

The Lutfi Chili Oil with Crispy Garlic

Sejadah baldu gebu tebal 5D

Sejadah baldu gebu tebal 5D

Lavaletta • Anastasia Orchid Flat Sandals Orchid Flower Slippers 1cm

Lavaletta • Anastasia Orchid Flat Sandals Orchid Flower Slippers 1cm

BUKIPET Mafaza Raya Dress Series

BUKIPET Mafaza Raya Dress Series

Must-Watch Video

Advertisement