Sekilas
- Puteri Balqis menyeru mangsa buli agar tidak berdiam diri dan berani menegakkan keadilan, terutama mereka yang mengalami situasi serupa dengannya dan keluarganya.
- Aqish menegaskan pentingnya memilih rakan dengan bijak dalam persahabatan dan mengingatkan supaya tidak mudah menjadi kambing hitam dalam kes buli.
- Nama Puteri Balqis kini hangat diperkatakan selepas dakwaannya terhadap pelakon Mia Sara Nasuha yang didakwa pernah mengaibkan ibunya serta insiden buli di set penggambaran beberapa tahun lalu.
Pelakon, Puteri Balqis tampil menyeru mangsa buli agar tidak terus berdiam diri dan takut untuk mempertahankan diri serta menegakkan keadilan terutamanya bagi mereka yang melalui pengalaman hidup seakan sama sepertinya dan keluarga.
Menurut Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish, mangsa buli tidak seharusnya membiarkan diri mereka terus diperlakukan sebagai kambing hitam.
“Untuk semua supporters Aqish, sahabat sahabat Aqish, jika hidup kalian ada persamaan dengan kami, terus melangkah.
“Jika kalian dibuli seperti aqish dan ibu, lawan, jangan mudah dijadikan kambing hitam,” serunya menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.
Dalam hantaran yang sama, Aqish juga turut menekankan kepentingan memilih rakan dalam ikatan persahabatan.
“Untuk bestie bestie Aqish, pilih sahabat walau tak ramai. Tak ramai bukan bererti kita suka bermusuh. Kita pilih.
“Thank you for all the wonderful thoughts and support you have been giving me. Yang dibuli kekal menderita. Si pembuli riang ketawa,” tegasnya.

Terdahulu, nama Puteri Balqis sedang menjadi perhatian di media sosial susulan perbalahannya bersama seorang lagi pelakon, Mia Sara Nasuha.
Aqish mendakwa Mia Sarah Nasuha, 21, pernah mengaib serta menghina ibunya, Norashikin Abdul Aziz, sehingga memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental ibunya itu.
Aqish turut mendakwa wujud insiden membabitkan perbuatan membuli di set penggambaran beberapa tahun lalu selain berkongsi pernah diketepikan ketika ingin bergambar bersama peminat kerana dianggap kurang dikenali ketika itu.