Pelakon dan pengacara, Raja Azura hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah.
Peguam yang mewakilinya, Mohammad Amirul Hanizan berkata, kebenaran pelaksanaan nafkah itu perlu dimohon semula kerana tempoh permohonannya sudah terlalu lama iaitu pada 2010.
Advertisement
"Hari ini, kita mulakan prosedur terhadap bekas suami Kak Engku (Raja Azura) yang mana, berkaitan dengan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah ini pada 2010.
"Jadi, perintah itu dah terlalu lama dan terma-terma perintah itu tidak boleh dilaksanakan lagi.
"Maka, hari ini, Kak Engku datang ke mahkamah untuk memfailkan supaya perintah-perintah itu dilaksanakan oleh pihak bekas suaminya," katanya kepada Harian Metro.
Amirul bagaimanapun tidak dapat mendedahkan secara terperinci mengenai jumlah nafkah yang dituntut, namun memaklumkan, anak guamnya mengikut prosedur yang betul.
"Antaranya, perintah nafkah yang berkaitan dengan anak-anak, nafkah idah dan lain-lain. Tapi, majoritinya berkenaan dengan anak-anaklah.
"Jumlahnya besar dan saya tak boleh dedahkan lagi.
"Itu adalah hak Kak Engku dan juga keluarga. Jadi, dia perlu menuntut di tempat yang betul iaitu di mahkamah syariah," katanya.
Raja Azura, 53, berkata, tindakan itu dibuat atas persetujuan bersama tiga anaknya, Megat Muhammad Raziq Adzmin, Megat Luqman Hakim Adzmin dan Puteri Mia Maizura Adzmin.
"Sejak berpisah pada 2010, saya tak pernah failkan. Buat pertama kali, saya melangkah kaki masuk ke mahkamah ini. Saya nak tuntut hak anak-anak saya. Itu sahaja.
"Anak-anak pun dah besar. Mereka pun dah tamat pengajian. Alhamdulillah. Jadi, saya rasa mereka pun dah cukup dewasa," katanya.
Raja Azura dan bekas suami, Adzmin Osman berumah tangga pada Mac 2001 sebelum disahkan bercerai pada 2010.
Sumber: Harian Metro