Sekilas
- Penyanyi dan guru Tasha Manshahar kecewa selepas video dirinya dirakam tanpa penjelasan oleh seorang pegawai kerajaan menjadi tular dan menimbulkan salah faham.
- Tasha menjelaskan video tersebut mengelirukan dan boleh menimbulkan fitnah terhadap imejnya sebagai wanita dan pendidik.
- Video asal sudah dipadamkan, tetapi ia dipercayai dimuat naik semula oleh beberapa akaun lain di media sosial.
Penyanyi dan guru Tasha Manshahar meluahkan rasa terkilan selepas sebuah video melibatkan dirinya dimuat naik seorang pegawai kerajaan sehingga mencetuskan salah faham dan komen negatif netizen.
Menurut Tasha atau nama sebenarnya Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, dia tidak mempunyai masalah untuk dirakam, namun kandungan video tersebut didakwa mengelirukan selain boleh menimbulkan fitnah terhadap dirinya sebagai seorang wanita dan pendidik.
“Baru-baru ini ada video seorang pegawai tular dalam Threads dan TikTok. Video beliau kebanyakannya vlog membuat pemantauan di sekolah di Melaka dan beliau datang ke sekolah saya baru-baru ini.
“Pada hari tersebut beliau masuk ke bilik guru perempuan yang tidak dimasuki pun guru lelaki sekolah kami untuk berjumpa dengan saya dan meminta rakam ‘video 5 saat’,” tulisnya menerusi Threads.
Menurut Tasha lagi, selepas rakaman selesai, individu terbabit terus beredar tanpa menjelaskan tujuan sebenar video tersebut dirakam.
“Namun setelah selesai, beliau berlalu pergi tanpa menyatakan tujuan video tersebut dirakamkan. Tiada pun terima kasih.
“Rupa-rupanya dia nak masukkan video tersebut sebagai footage dalam konten beliau,” ujarnya.

Tambah pelantun lagu Be Mine itu, apa yang lebih mengecewakan adalah ruangan komen video berkenaan yang disifatkannya mengandungi pelbagai andaian dan kata-kata tidak baik.
“Tak jadi masalah tapi saya kesal kerana konten dan balasan dalam ruangan komen tentang saya agak mengelirukan dan boleh menimbulkan fitnah kepada saya yang sentiasa berusaha menjaga imej sebagai wanita dan guru,” katanya lagi.

Difahamkan, video tersebut sudah dipadamkan individu terbabit, namun ia dipercayai telah dimuat naik semula oleh beberapa akaun lain di media sosial.