Penyanyi, Nadeera Zaini bakal mengharumkan nama negara apabila dipilih mewakili Malaysia ke ABU Song Festival 2025 yang akan berlangsung di Mongolia pada 13 September ini.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Nadeera memohon doa daripada semua agar urusannya dipermudahkan sepanjang berada di sana.
“Kepada anda semua, saya nak beritahu saya akan berangkat ke Mongolia untuk Abu Song Festival yang akan berlangsung pada 13 September ini.
“Saya juga menyeru untuk mendoakan saya untuk dipermudahkan segala-galanya,” katanya.
Dalam pada itu, Nadeera turut menyifatkan pemilihannya oleh pihak RTM sebagai satu penghormatan besar, malah tidak menyangka diberi peluang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Tambahnya lagi, peluang tersebut bukan sekadar untuk dirinya, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Pemilihan oleh pihak RTM ini merupakan satu penghormatan besar buat saya. Jujurnya saya sangat terharu apabila diberitahu bahawa saya bakal membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui ABU Song Festival 2025. Lagu ‘Bukan Lagi Kita’ sangat dekat di hati saya dan pendengar, jadi saya mahu nyanyikannya dengan seluruh jiwa, sebagai hadiah buat semua,” ujar Nadeera.
“Saya sedar di pentas ini, saya bukan sekadar Nadeera, saya adalah anak Malaysia. Setiap nota yang saya nyanyikan nanti adalah doa, harapan dan juga kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan yang terbaik,” tambahnya lagi.
Di festival berprestij itu, Nadeera bakal mempersembahkan lagu hitnya Bukan Lagi Kita, karya yang melonjakkan namanya sebagai antara vokalis terbaik generasi ini.
Persembahan tersebut sekali gus membuka ruang untuk memperkenalkan karya tempatan kepada khalayak antarabangsa.
ABU Song Festival merupakan sebuah acara gala tahunan tanpa pertandingan yang dianjurkan oleh Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU).
Festival ini menampilkan persembahan lagu atau instrumental oleh pemuzik dari seluruh rantau Asia.
Negara-negara yang mempunyai keahlian penuh atau tambahan ABU dijemput untuk menghantar penyertaan bagi dipersembahkan secara langsung di hadapan penonton.
Acara ini turut dirakam secara langsung bagi membolehkan penyiar kebangsaan menambah sari kata dalam bahasa masing-masing untuk siaran domestik.