Penyanyi dan komposer, Aisha Retno tidak menyangka kenyataanya mengenai batik terhadap selebriti antarabangsa, Ariana Grande dan Cynthia Erivo bakal mengundang kemarahan negara jiran.
Menurut Aisha atau nama lengkapnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam dia banyak menerima komen pedas dan perkataan yang kurang enak didengari daripada netizen Indonesia.
“Saya memang tak sangka ia akan jadi satu isu yang cukup besar namun saya ambil perkara itu sebagai pengajaran buat saya. Walaupun ada saya banyak terima komen-komen yang pedas, dekat DM pun ada berikan kata-kata yang kurang enak tapi saya amik ia sebagai perkara yang baik.
“Tapi memang faktanya batik ada dari pelbagai negara dan batik yang saya pegang itu adalah batik dari Malaysia. Mungkin ada salah faham, ada yang kata saya tak bersalah tapi saya sentiasa self-reflect, mungkin selepas ini saya kena lebih berhati-hati,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa yang sama, penyanyi berdarah kacukan Malaysia-Indonesia itu berharap isu berkenaan tidak lagi diperbesarkan sehingga mencetuskan perselisihan antara dua negara.
Aisha turut menegaskan bahawa dia tidak pernah mendakwa batik berasal dari Malaysia.
“Tapi bagi saya yang ada darah Malaysia-Indonesia kita sudahilah pergaduhan ini, bagi saya ia tak perlu diperbesarkan dan memang nyata apa yang saya baca memang batik itu perkataan daripada Indonesia tapi kita pun tahu di pelbagai negara pun kita ada pelbagai jenis batik.
“Tiada istilah saya claim mungkin ada yang kurang faham. Saya cuma cakap batik yang saya berikan itu dari Malaysia bukan semua batik itu adalah asal dari Malaysia,” tambahnya.
Terdahulu, Aisha Retno berdepan kecaman netizen Indonesia selepas menghadiahkan kain batik Malaysia kepada dua bintang Hollywood, Ariana Grande dan Cynthia Erivo ketika tayangan perdana Wicked: For Good di Singapura baru-baru ini.
Menerusi video yang dikongsi Aisha sebelum ini, dia dilihat memperkenalkan kain batik Malaysia kepada dua selebriti tersebut.